1.7 juta kanak-kanak mati sebab udara tercemar: WHO
NEW YORK, 10 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan 1.7 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun di seluruh dunia maut setiap tahun akibat persekitaran yang tercemar.
Pengarah Besarnya, Margaret Chan berkata, pencemaran yang berlaku termasuk air dan udara yang kotor, perokok sekunder dan sikap kurang menjaga kebersihan.
Katanya, persekitaran tercemar menyebabkan kes kematian meningkat terutama penyakit cirit birit, malaria dan radang paru-paru.
Jelas beliau, kanak-kanak berisiko tinggi menghidap penyakit cirit-birit dan radang paru-paru jika kediaman mereka tidak mempunyai air bersih dan kawasan bersih atau dicemari asap daripada bahan tidak bersih seperti arang batu atau najis binatang yang digunakan untuk memasak dan memanas makanan.
Berdasarkan laporan bertajuk ‘Mewarisi Dunia Mapan: Atlas Tentang Kesihatan Kanak-kanak dan Alam Sekitar’, pertubuhan itu memaklumkan pendedahan mereka bermula sejak dalam rahim dan berterusan jika bayi terus terdedah kepada pencemaran udara di dalam atau luar rumah serta perokok sekunder.
Pencemaran itu meningkatkan risiko penyakit radang paru-paru yang boleh berlanjutan sepanjang hayat dan bersifat kronik seperti asma.
Laporan itu juga mendakwa, pencemaran udara juga mening katkan risiko penyakit jantung, angin ahmar dan kanser.
Pakar Kesihatan Awam WHO, Maria Neira berkata, jumlah kematian, penyakit dan penyakit berpanjangan yang dilaporkan amat tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa di seluruh dunia memastikan semua kawasan adalah selamat untuk kanak-kanak.
“Pelaburan bagi menghapuskan risiko alam sekitar yang berbahaya seperti meningkatkan kualiti air atau menggunakan bahan api yang bersih boleh memberi faedah yang besar terhadap kesihatan,’’ katanya. – Agensi
The post 1.7 juta kanak-kanak mati sebab udara tercemar: WHO appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan