19 juta penduduk Yaman kebuluran, perlu bantuan segera: PBB
SANAA, 3 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Kira-kira 19 juta penduduk di Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan segera selepas negara itu kini berdepan risiko kebuluran yang serius.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Kedua untuk Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien ketika melawat bandar pelabuhan Aden, kelmarin.
Katanya, beliau merayu masyarakat antarabangsa untuk segera membantu penduduk Yaman.
“Hampir 19 juta dari 26 juta penduduk di Yaman perlu bantuan kemanusiaan. Tujuh juta penduduk di negara terjejas itu juga memerlukan bantuan makanan.
“Sebelum konflik meningkat pada Mac 2015, rakyat di negara terbabit sememangnya berdepan dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, kelemahan undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia secara berleluasa,” katanya.
O’Brien turut memberi respon berhubung laporan sebelum ini yang mendapati lebih 7,500 maut manakala lebih 40,000 lagi cedera sejak Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan pada Mac 2015.
“Jumlah kematian tersebut mungkin jauh lebih tinggi. Ia sukar diperoleh berikutan kemudahan dan sistem kesihatan di seluruh negara yang daif,” katanya.
Khamis lalu, Pusat Pembangunan dan Hak Undang-undang Yaman melaporkan kematian orang awam di negara terbabit meningkat kepada sekurang-kurangnya 12,041 orang termasuk 2,568 kanak-kanak dan 1,870 wanita. – Agensi
The post 19 juta penduduk Yaman kebuluran, perlu bantuan segera: PBB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan