Akar umbi bawa usul gesa PAS putus dengan PKR

TUMPAT, 20 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi jaminan akan membawa suara akar umbi yang mendesak parti itu membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR pada muktamar tahunan di Kedah, bulan depan.

Katanya, ketika ini desakan tersebut semakin ketara dari seluruh negara dengan keputusan masa depan kerjasama dengan PKR dijangka diputuskan pada muktamar nanti.

Beliau juga berpendapat bahawa sudah tidak ada keperluan untuk parti itu terus menjalinkan kerjasama dengan PKR yang dilihat lebih selesa mengikut kehendak DAP daripada menjaga hati PAS.

“Sebagai contoh di Pulau Pinang, saya lihat memang tidak ada keperluan bekerjasama dengan PKR. Parti itu langsung tidak menghormati kita termasuk pernah mengambil ahli PAS sebagai jentera pada pilihan raya umum lalu tanpa makluman.

“Begitu juga dalam isu fatwa di Pulau Pinang, PKR lebih selesa mendengar kata DAP daripada meletakkan kepentingan Islam. Jadi kita tidak boleh bersetuju dengan perkara ini dan oleh itu, sudah masanya PAS mengkaji semula hubungan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat di sini malam tadi.

Usul yang dibentangkan pada mesyuarat itu, diluluskan selepas akar umbi sebulat suara mahu melihat PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Malah, mereka turut mendesak PAS mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR pada pilihan raya umum lalu selain mahu PAS segera berhenti daripada memberi bantuan kepada sekutunya itu.

Ketika membentangkan usul tersebut, perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai hubungan dengan PAS tetapi dalam masa sama masih mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan PAN.

Menurutnya, PKR juga menunjukkan sifat biadab apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Dengan itu, saya mengusulkan kepada Dewan Pemuda PAS negeri untuk dipanjangkan kepada Dewan Pemuda PAS dan kepemimpinan tertinggi PAS supaya memutuskan segera hubungan dengan PKR secara menyeluruh termasuk tidak lagi membantu mereka pada pilihan raya,” katanya.

The post Akar umbi bawa usul gesa PAS putus dengan PKR appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?