Aktivis edar buku kompilasi penderitaan Rohingya
NILAI, 19 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Dalam usaha menyedarkan masyarakat akan penderitaan yang dialami kaum Rohingya di Myanmar, sekumpulan aktivis akan mengedarkan secara percuma buku ‘Witness of Horror’ di beberapa negara termasuk Malaysia dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Diterbitkan oleh Kaladan Press Network yang berpangkalan di Myanmar, buku itu merupakan kompilasi kisah 21 wanita Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman tentera Myanmar.
Editor Eksekutif firma penerbitan itu Tin Soe@Mohamed Taher berkata, beliau berharap buku tersebut akan membuka mata pertubuhan antarabangsa untuk mengambil langkah segera menamatkan konflik minoriti Islam di wilayah Rakhine berkenaan.
“Kami akan mengedarkan 2,000 naskhah buku ini secara percuma di seluruh Malaysia, Thailand dan juga PBB,” katanya semasa berucap pada pelancaran buku itu di kampus Universiti Sains Islam Malaysia, di sini, hari ini.
Buku itu menceritakan pengalaman 21 wanita terbabit yang berjaya meloloskan diri ke Bangladesh semasa tentera Myanmar menjalankan “operasi pembersihan” di Arakan pada 9 Oktober 2016.
Sementara itu, Razia Sultan, seorang peguam yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh pula berkata sekurang-kurangnya 70 wanita dan gadis dirogol oleh tentera Myanmar pada hari berkenaan dengan sekurang-kurangnya enam daripada mangsa dibunuh.
“Kerajaan Myanmar perlu berhenti menafikan laporan-laporan kekejaman ini,” katanya.
Pippa Curwen, aktivis yang berpangkalan di Chiang Mai, Thailand pula berkata sebahagian besar penduduk wanita menjadi mangsa serangan seksual tentera Myanmar dan penduduk kampung pula dipaksa menafikan jenayah terbabit. – Bernama
The post Aktivis edar buku kompilasi penderitaan Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan