Asiah Jalil celaru dalam mengagumi Barat

MELIHAT kepada susuk tubuh Asiah Jalil dan keluarganya, terlihat secara fizikal sebuah keluarga Muslim yang sangat menjaga agamanya. Namun begitu, sebaik sahaja Asiah Jalil membuka mulutnya serta menuturkan kata-katanya di media sosial bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

Mungkin ada sesuatu yang telah merobek jiwanya sehingga memendam. Akhirnya hukum-hakam yang melambangkan kesyumulan Islam menjadi sasaran amarahnya.

Gambar 1: Maklumbalas Asiah Abdul Jalil berkenaan isu poligami

Watak Asiah Jalil mengingatkan kita kepada kaum Eropah semasa berada di zaman kegelapan mereka. Geram sungguh masyarakat Eropah dengan pemerintahan feudal dan teokrasi berasaskan Kristian pada ketika itu.

Yang telah melarang ummat mereka dari membaca dan menerokai ilmu baru. Yang telah menjual taubat dan keampunan Tuhan dengan perantaraan paderi-paderi.

Yang telah meletakkan raja-raja dan orang agama sebagai wakil Tuhan. Asiah Jalil begitu geram mungkin ada pengalaman peribadinya yang membentuk persepsi bahawa Islam sekarang dimanipulasi, sepertimana Raja dan Pope memanipulasi agama Kristian pada zaman feudal Eropah dulu.

Apabila kaum Eropah terserempak dengan kehebatan peradaban Islam sekitar zaman empayar Abasiyyah, mereka berebut-rebut mengambil sisi materialisme tamadun Islam pada ketika itu.

Mereka tekun mengambil aspek kehidupan duniawi semata-mata. Namun, mereka meninggalkan ruh beragama dan mentauhidkan Allah yang menjadi pemelihara tamadun Islam yang hebat tersebut.

Kaum Eropah masih fobia terhadap agama, kerana pengalaman dengan agama Kristian yang menyekat dan menyusahkan kehidupan mereka. Lalu mereka menyangka, peradaban Islam itu hanya perlu dicedok pada aspek kebendaan sahaja.

Kaum Eropah gagal melihat bagaimana Islam telah melahirkan model ketamadunan yang telah mengharmonikan antara kerohanian dan kebendaan.

Dr Wilhelm Haas, seorang ilmuan Jerman menceritakan tentang permulaan ketamadunan masyarakat Eropah bermula dengan tamadun kuno Yunani yang menitikberatkan tubuh badan yang cantik, kekuatan tubuh badan, keseronokan kebebasan minda.

Setelah kaum Eropah penat mengabdikan diri kepada ajaran Kristian dan sistem beraja Eropah yang tidak meraikan fitrah manusia, falsafah Yunani menjadi sumber rujukan mereka semula.

Maka muncullah fasa Renaissance yang telah membangunkan fahaman humanisme, yang merujuk semula falsafah klasik Yunani seperti Protagoras, yang menyatakan “manusia adalah ukuran semua perkara.” Kaum Eropah terasa maruah dan jati diri mereka yang telah dipenyekkan semasa zaman kegelapan mereka kembali dibangkitkan semula.

Sekitar kurun 14 ke kurun 17, kaum Eropah beralih kepada era Renaissance, iaitu berlaku gerakan mengisi jiwa manusia dengan kesenian, kebudayaan, sastera, falsafah berkait kebebasan jiwa, apresiasi terhadap keindahan semulajadi dan kehebatan manusia.

Mungkin ini apa yang dirasakan Asiah Jalil, iaitu merasakan jati dirinya lebih kuat dan hebat apabila mula membebaskan nilai Islam yang dianggap sebagai cengkaman.

Berlalunya Renaissance, kurun 17 ke kurun 18, kaum Eropah memasuki fasa yang dipanggil “Englightenment”. Setelah kaum Eropah terasa kemanusiaan mereka diangkat semula, kaum Eropah menganut fikrah rasionalisme, yang menganggap setiap sesuatu perkara pasti ada sebab musabab, ataupun pasti ada rasionalnya.

Lalu segala tradisi lama yang dibayangi sistem feudal dan agama Kristian dipersoal dan diterhadkan penglibatannya dalam kehidupan.

Sekiranya Asiah Jalil melihat agama sepertimana yang dilihat oleh kaum Eropah pada ketika itu, maka tidak hairanlah beliau ingin mempersoalkan segala syariat Allah. 

Asiah Jalil gagal memahami bahawa deen Islam bersifat tetap dan sentiasa relevan sepanjang zaman.

Apabila Asiah Jalil gagal melihat rasional dan hikmah hukum-hakam syariat Islam, maka beliau menolaknya. Hukum kekeluargaan seperti poligami pun Asiah Jalil skeptikal.

Hukum jenayah seperti hudud pun Asiah Jalil skeptikal. Usul dakwah pun Asiah Jalil skeptikal sepertimana yang dipamerkan dalam sikap beliau berhubung isu Dr. Zakir Naik.

Lalu, Asiah Jalil dengan lantang mengkritik hukum-hakam yang telah memakmurkan dunia pada zaman kegemilangan Islam yang silam, sehingga tergamak menuduh hukum-hakam dan undang-undang pada zaman Rasulallah sebagai ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi di masa sekarang.

Suatu masa nanti, pasti Asiah Jalil akan berasa penat apabila terperangkap dalam era rasionalisme. Sepertimana penatnya kaum Eropah apabila sentiasa bersifat skeptical dan melampau dalam ingin mencari rasional dan hikmah terhadap apa sahaja keilmuan.

Akhir kurun 18 ke kurun 19, kaum Eropah yang tepu dengan era pencerahan dan rasionalisme, kemudian beralih mencari sesuatu yang ingin menyeimbangkan minda mereka yang berlari laju.

Mereka memasuki fasa romantisisme, yang disebut sebagai “counter-Enlightenment”, kerana bertindakbalas terhadap era yang asyik mengasak intelektual secara melampau.

Ya, mereka merindukan sesuatu yang sangat asas bagi kehidupan manusia. Iaitu kebahagiaan dalam beragama. Mereka telah hilang nilai spiritual pada peringkat individu, ummat dan negara secara keseluruhan. Namun ingin kembali mendampingin agama terasa malu-malu alah pula.

Kurun ke 19, kaum Eropah ingin memahami reality bangsa mereka secara paling hampir dengan realiti. Peralihan kaum Eropah dari era romantisisme ke era realisme menunjukkan bahawa mereka terpaksa mengakui bahawa manusia tidak boleh hidup terpisah dari satu cara hidup yang lengkap menjaga urusan manusia sehari-hari.

Mungkin Asiah Jalil menganggap keadaan kaum Muslimin dan pemerintahan Islam zaman silam dilaksanakan dalam suasana khemah dan padang pasir. Sedangkan bandar-bandar di tanah air Islam merupakan kota metropolitan pada ketika itu.

Sistem perundangan , sistem ekonomi, sistem pendidikan dan segala sistem di bawah naungan khilafah Islamiyah pada ketika itu begitu maju, sehinggakan kemajuan itulah yang telah mencetuskan inspirasi kepada keseluruha dunia untuk berubah.

Asiah Jalil mengagungkan segala sistem Barat, mungkin kerana Asiah Jalil menyangka ketamadunan Islam sebuah tamadun yang kuno dan mundur, sehinggakan menganggap ulama yang lahir di zaman silam sebagai ketinggalan zaman dan tidak memahami realiti.

Sedangkan sejarah membuktikan kehebatan Islam dicemburui oleh kaum Eropah, sehingga mereka cuba mengambil alih untuk mengendalikan peradaban Islam. Lihat sahaja deretan Perang Salib tercatat dalam sejarah.

Sejarawan Barat berderet-deret memuji dan terasa terhutang budi dengan peradaban Islam, tetapi Asiah Jalil masih sesat dengan hujah tidak berasas seolah-olah Barat menjadi maju dengan sendirinya tanpa ada peranan kaum Muslimin dan manhaj Islam di situ. Bahkan Asiah Jalil meninggalkan pelbagai fakta bahawa Islam telah memberi sumbangan kepada seluruh dunia.

Robert Stephen Briffault, seorang pakar bedah Perancis, yang juga merupakan seorang antropologis sosial berkata, “Tidak ada satu aspek pun pada kemajuan Eropah yang tidak dipengaruhi oleh peradaban Islam.”

Gambar 2 : Pendirian Asiah Jalil bahawa hudud tidak relevan

Peralihan kaum Eropah dari satu era ke satu era yang lain yang dikongsikan tadi merupakan kisah bagaimana kaum Eropah berusaha mencari ruh dalam berbudaya dan beragama.

Ini tidak termasuk, huraian revolusi-revolusi berbentuk sosiopolitik dan ekonomi yang turut menjadi latar belakang proses “soul-searching” Barat. Kaum Eropah sehingga kini masih menunjukkan mereka masih lagi belum berhenti berjalan mencari kebahagiaan. Mereka masih belum menemukan kebahagiaan dalam menganut satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.

Adakah Asiah Jalil masih mahu mengikut kafilah mereka yang belum pun bertemu destinasi sebenar mereka.

Agama Islam meraikan fitrah manusia yang ingin menundukkan jiwa sebagai hamba Tuhan. Agama Islam juga meraikan fitrah manusia yang ingin memimpin dan mengubah, melalui peranan sebagai khalifah.

Agama Islam menyeimbangkan antara ibadah peribadi dan ibadah meletakkan keseluruhan hak hakimiyyah Allah di atas muka bumi. Dalam Islam, ada emosi lembut pada akhlak seperti tawaduk, insaf, redha dan seumpamanya.

Dalam Islam juga, ada semangat ingin mempertahankan diri, agama, tanah air serta menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan.
Mungkin Asiah Jalil berkecamuk kerana memikirkan mengapalah ummat Islam pada hari ini kelihatan paling bermasalah? Sehingga Asiah Jalil membanding-bandingkan situasi ummat Islam sekarang dengan pencapaian Barat.

Ini adalah salah faham yang harus Asiah Jalil betulkan terlebih dahulu, yang menganggap kerana hukum syariah lah yang menyebabkan keadaan ummat Islam huru-hara.

Ummat Islam kini merupakan natijah daripada penjajahan kuasa kolonialisme Barat. Ummat Islam kini adalah definasi dan keadaan yang dikehendaki oleh kuasa imperialisme Barat.

Setelah Barat puas menyedut kekayaan ummat Islam di samping merosakkan sistem kenegaraan yang berasaskan syariah, mereka pun memberikan kemerdekaan kepada negara-negara Islam.

Ummat Islam dan negara-negara ummat Islam dibentuk oleh Barat mengikut konsep negara-bangsa yang sekular. Penjajah melantik pemerintah baru di kalangan rakyat tempatan yang mampu menjadi pak turut kepada konsep negara-bangsa yang telah jauh dari undang-undang Islam.

Dua kurun penjajahan Barat di negara-negara ummat Islam telah merencatkan perlaksanaan Islam secara syumul dan berasaskan tauhid. Peranan Islam telah dikecilkan sekadar fiqah ibadah peribadi dan kekeluargaan, serta pada peringkat masyarakat sekadar adat istiadat.

Barat meninggalkan majoriti populasi negara ummat Islam ketandusan pendidikan berkualiti, setelah mereka menyekat peluang pendidikan sepanjang penjajahan berlaku.

Kemudian Asiah Jalil menyatakan itulah dia ummat Islam yang mengikut syariat, mengaggap mereka mundur dan kolot, terkongkong dan tersepit.

Asiah Jalil perlu memahami konstruk sosial Malaysia, walau telah rosak diganyang penjajah sebelum merdeka, kita masih mempunyai negarawan yang menyayangi agama Islam yang suci dan masih berusaha membaiki fabrik kenegaraan kita berasaskan syariah.

Kedudukan Islam sebagai agama perseketuan, perlu dibaca bersama dengan Artikel 11(2), Artike 11(3), Artikel 11(4), Artikel 12(2), Artikel 121(1A).

Janganlah kerana terlalu kecewa dan putus asa dengan keadaan ummat Islam pada hari ini, Asiah Jalil ingin mengambil jalan pendek ingin mengimport idealogi Barat yang tidak meletakkan langsung elemen tauhid kepada Allah.

Bahkan Barat pada hari ini, juga sedang sibuk menganalisa bagaimana polisi dan sistem kenegaraan mereka semakin memberi masalah.

Seorang pemikir Islam, Dr Ismail Raji Al Faruqi berkata, “tidak syak lagi bahawa asas kepada kegemilangan ummat Islam adalah (kesyumulan) Islam itu sendiri, yang berteraskan tauhid kepada Allah.

Tindakan mengEsakan Allah sebagai Pencipta yang teragung, serta ketundukan kepada Allah sebagai Tuhan dan Tuan sebagai garis panduan kepada peradaban ummat Islam.”

Semoga kita menghayati Surah Ali Imran ayat 196 & 197 ini sebagai panduan mencari solusi kebahagiaan dunia dan akhirat.

“Jangan sekali-kali engkau terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). Itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan. “

Nurhidayah Ismail
Aktivis Wanita Isma

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Asiah Jalil celaru dalam mengagumi Barat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?