Bekas Pengarah Imigresen Perak didakwa terima rasuah
IPOH, 1 Rejab 1438H, Rabu – Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lalu.
Bekas Pengarah Imigresen Perak, Zulhairin Yahya, 45, yang kini bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya dan bekas Ketua Unit Pendakwaan negeri, Zaidi Dali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap pusat hiburan The Bos KTV di No 92-96, Tingkat 1, Persiaran PM 2/5, Pusat Bandar Seri Manjung.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club kira-kira jam 9 malam pada 5 November 2015.
Zulhairin juga didakwa menerima RM4,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya pada jam 12.05 tengah malam 11 November tahun sama.
Zaidi pula dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini pada jam 9.55 malam 11 November tahun sama.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
The post Bekas Pengarah Imigresen Perak didakwa terima rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan