DAP tentang RUU 355 kerana mahu kelirukan masyarakat bukan Islam: Noh


PUTRAJAYA , 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Tindakan DAP menentang Rang Undang-undang Persendirian (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 hanya kerana politik dan mahu mengelirukan masyarakat bukan Islam di negara ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, RUU 355 dikanunkan pada tahun 1965 dan ia dipinda pertama kali pada 1984 dengan hukuman kepada penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

“Kenapa DAP tidak bangun menentang pada tahun 1984? Kenapa DAP diam dan membisu pada ketika itu? Mengapa sekarang?

“Ini hanya kerana politik semata-mata. DAP mahu mempengaruhi orang bukan Islam sedangkan ia tidak kena mengena dengan orang bukan Islam.

“DAP kena hormat. Ini isu orang Islam. Biarlah kita selesaikan isu ini… Jangan sebab politik, campur tangan urusan agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak mempunyai halangan untuk bekerjasama dan memberi laluan untuk kerajaan BN membentangkan pindaan rang undang-undang itu.  – Bernama

The post DAP tentang RUU 355 kerana mahu kelirukan masyarakat bukan Islam: Noh appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?