Empat anggota, pesara polis didakwa terima suapan
SHAH ALAM, 9 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Empat anggota termasuk seorang pesara polis didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah berbeza dalam dua kes berasingan di sini, hari ini.
Dalam kes pertama, seorang anggota berpangkat inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah.
M. Krishnan, 33, didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran meminta dan menerima rasuah dari seorang wanita Lim Bee Sin, 21, sebagai dorongan untuk mengurangkan lima pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dia dituduh meminta suapan sebanyak RM8,500 daripada Lim kira-kira jam 8.30 malam pada 13 Januari 2016 di Ibu Pejabat Polis Klang Selatan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 kerana tuduhan pertama dan Seksyen 17 (a) Akta yang sama kerana menerima RM7,000 daripada Lim pada hari berikutnya.
M. Krishnan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hazirah Azeman meminta mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM30,000, namun peguam Krishnan, Datuk Geethan Ram Vincent meminta jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM10,000.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Krishnan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sebulan sekali.
Beliau turut menetapkan 3 April depan untuk sebutan semula kes itu.
Sementara itu, dua anggota dan seorang pesara polis didakwa oleh SPRM di Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas tuduhan memperoleh suapan wang tunai bernilai RM5,000 sebagai dorongan tidak meneruskan tindakan terhadap seorang suspek berkaitan kes memiliki dan mengedar dadah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Azahar Adon, 56; Rosli Bali, 55 dan Yusof Ali, 60, dituduh melakukan perbuatan itu semasa ketiga-tiga mereka bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 22 April 2015.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim Asmadi Hussin menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.
The post Empat anggota, pesara polis didakwa terima suapan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan