Guru agama Islam dihantar ke Sarawak untuk penuhi keperluan
KUCHING, 1 Rejab 1438H, Rabu – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi menjelaskan pengambilan guru agama Islam dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak hanya dibuat bagi memenuhi keperluan pelajar di negeri itu.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu diambil untuk memastikan pelajar beragama Islam di Sarawak terus menerima pendidikan terbaik dalam subjek Pendidikan Islam.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana bilangan graduan tempatan yang tidak mencukupi untuk mengisi kekosongan jawatan guru agama Islam di negeri ini.
“Kementerian akan sentiasa memberi keutamaan kepada calon tempatan yang berkelayakan untuk mengisi jawatan sebagai guru agama Islam di Sarawak.
“Namun, timbul sedikit masalah berikutan tiada permohonan daripada orang tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan ini,” katanya.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pengambilan untuk guru-guru di seluruh Malaysia dibuat susulan kekosongan 401 tempat di Sarawak kerana tidak ramai calon graduan pasaran terbuka di negeri itu.
“Perkara itu diputuskan hasil persetujuan bersama kementerian dan kerajaan negeri. Pengambilan interim ini tidak melibatkan guru-guru mata pelajaran yang lain.
“Pelantikan ini hanya untuk tempoh tertentu sahaja sehingga dapat dipenuhi oleh calon-calon di kalangan anak negeri Sarawak,” katanya.
The post Guru agama Islam dihantar ke Sarawak untuk penuhi keperluan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan