H5N1: Jangan sembunyi unggas sebab takut rugi
KOTA BHARU, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Penternak di lokasi yang disahkan positif virus selesema burung (H5N1) diingatkan supaya tidak menyembunyikan unggas dimiliki untuk dimusnahkan.
Menegaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan menyembunyikan unggas adalah satu kesalahan.
Ia berikutan wabak H5N1 kini diisytihar sebagai bencana negeri.
“Memang mereka menanggung kerugian besar kerana unggas terbabit terpaksa dimusnahkan jika disahkan positif atau berada dalam lingkungan satu kilometer (km) radius dari lokasi positif H5N1.
“Namun, jika kita tidak mengambil langkah pencegahan seperti itu, wabak berkenaan sukar dikekang dan akan bertambah teruk manakala kerugian turut meningkat,” katanya dipetik Berita Harian.
Jelas beliau, sebanyak 33,153 unggas dan 13,342 telur dimusnahkan sehingga semalam akibat wabak H5N1.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada penambahan lokasi disahkan positif dilaporkan, ia kekal 28 lokasi membabitkan enam daerah iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.
The post H5N1: Jangan sembunyi unggas sebab takut rugi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan