Halau Zakir Naik: Mana perjuangan hak kebebasan bersuara aktivis liberal?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Tindakan 19 aktivis liberal yang memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik seperti membelakangkan hak kebebasan suara yang lantang dipertahankan selama ini.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, mana hilangnya hak asasi dan semangat dialog intelektual yang sering dilaungkan mereka.

“Ke mana hilangnya hak kebebasan bersuara yang mereka pertahankan selama ini? Ke mana hanyutnya semangat dialog intelektual yang diperjuangkan selama ini?

“Anda berhak untuk menolak dan tidak bersetuju dengan pandangan Zakir Naik, tetapi tampil lah dengan hujah dan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa aktivis memfailkan tuntutan yang memohon satu perintah bagi Ketua Polis Negara untuk segera menangkap Zakir Naik, juga membatalkan status tokoh agama itu sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, termasuk perintah mengusirnya dengan segera dari negara.

Mengulas lanjut, ustaz Nasruddin berkata, apa yang dilakukan Zakir Naik dalam ceramahnya adalah sentiasa mengemukakan hujah yang ilmiah dan rasional.

“Tidak hanya berdasarkan sumber-Islam, beliau turut menghuraikan sesuatu perkara berdasarkan sumber agama lain bagi memahamkan pendengar terhadap keindahan Islam dan meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang sebenar. Intelek atau ekstrem?

“Tidak sekadar itu, beliau tidak memaksa sesiapa untuk menerima setiap butir isi kandungan yang disampaikannya bahkan beliau memberikan peluang kepada semua sama ada bagi menanyakan soalan atau mengemukakan hujah balas terhadap perkara yang telah beliau sampaikan,” tegasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Malah, Dr Zakir Naik juga bersedia menerima kebenaran yang disampaikan oleh pendengarnya dan membetulkan kesilapan sehingga sanggup menarik semula apa yang telah beliau sampaikan sekiranya dibuktikan bahawa ia salah.

“Beliau tidak pernah pula memaksa sesiapa pun untuk hadir ke program ceramahnya. Beliau menjemput semua orang untuk hadir tanpa mengira Melayu, Cina atau India dan tanpa mengira agama Islam, Budhha, Hindu atau Kristian sementelah lagi untuk membezakan seseorang itu mengikut parti tertentu.

“Beliau hanya mengharapkan setiap peserta programnya hadir dengan kemahuan untuk mendapatkan kebenaran. Intelek atau ekstrem?

“Menariknya (dengan izin Allah) selalu sahaja dalam programnya, ada kalangan bukan Islam memilih untuk memeluk Islam; bahkan bersyahadah di hadapan umum, ditonton oleh orang ramai dengan penuh rasa yakin dan aman.

“Berbanding individu atau kumpulan tertentu itu yang mahu Zakir Naik diusir dan disekat masuk dari negara ini dengan dakwaan kononnya Zakir Naik telah mengancam ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara bahkan mereka meminta campur tangan AS bagi mengenakan tindakan ke atas Zakir Naik hanya semata-mata disebabkan oleh sikap-sikap Zakir Naik yang saya nyatakan di atas, intelek atau ekstrem?,” soalnya.

The post Halau Zakir Naik: Mana perjuangan hak kebebasan bersuara aktivis liberal? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?