Hanya 2,000 pensyarah yang tamat kontrak, diberhentikan: KPT
KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan laporan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) semalam mengatakan hampir 6,000 pensyarah diberhentikan dan tidak disambung kontrak perkhidmatan sejak tahun lalu.
Sebaliknya KPT dalam satu kenyataan berkata, hanya kira-kira 2,000 pensyarah sahaja yang tamat kontrak, bersara atau diberhentikan sejak 2012.
Katanya, jumlah itu tidak tertumpu kepada yang diberhentikan atas sebab tertentu sahaja, sebaliknya merangkumi bilangan pensyarah yang pencen dan yang tidak disambung kontrak.
“Angka berkenaan tidak mengambil kira kemasukan pensyarah baharu sambil menegaskan ketika ini, ada lebih 32,000 pensyarah di universiti awam (UA) di seluruh negara.
“Universiti mempunyai autonomi untuk melantik semula pensyarah yang pencen. KPT percaya universiti akan terus melantik pensyarah yang pencen secara kontrak bagi memenuhi keperluan.
“Universiti juga mempunyai pelan penggantian masing-masing bagi membolehkan pensyarah muda mengambil alih jawatan yang dikosongkan.
“KPT ingin menjelaskan cadangan MAAC yang dibangkitkan pada September 2016, sudah dikemukakan kepada agensi pusat untuk dipertimbangkan,” katanya.
Semalam MAAC menerusi laporan media mendakwa hampir 6,000 pensyarah termasuk bertaraf profesor, berhenti dan ditamatkan kontrak akibat kekangan kewangan sejak tahun lalu.
KPT menjelaskan, isu kebajikan pensyarah dipandang serius sejak 1 September 2010, apabila Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti (SPPU) ditambah baik.
“SPPU adalah satu-satunya skim perkhidmatan awam (SPA) di negara ini yang berlandaskan merit iaitu kenaikan pangkat tidak perlu mengisi kekosongan.
“Disebabkan berdasar kepada merit, kenaikan pangkat juga boleh dilakukan secara berganda dengan pelangkauan gred di tengah.
“Selain itu, pensyarah universiti yang memiliki ijazah kedoktoran (PhD) akan terus dilantik ke gred DS51, tidak kira umur mereka, selain universiti diberikan autonomi menentukan kriteria kenaikan pangkat dan pengurusan sumber masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, KPT berkata, pada 2012 pula, semua pensyarah universiti diberikan kenaikan gaji oleh kerajaan, selaras Pekeliling Kerajaan Bil 1 Tahun 2012, mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Pensyarah turut dibenar menjalankan kerja perundingan, menubuhkan dan menguruskan syarikat sendiri, selain mendapatkan perkongsian royalti hasil pengkomersailan penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah dan sebagainya.
Ia sebagai satu sumber pendapatan tambahan bagi pensyarah,” katanya.
The post Hanya 2,000 pensyarah yang tamat kontrak, diberhentikan: KPT appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan