Henti tular upacara ‘Raja Bomoh’: Asyraf Wajdi

ALOR GAJAH, 19 Jamadilakir 1438H, Sabtu – Orang ramai diingatkan tidak mentularkan upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh yang dikatakan ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana perbuatan mentularkan ritual oleh lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak, itu secara tidak langsung mempromosikan individu itu.

“Memang inilah matlamat individu tersebut, iaitu diviralkan (ditularkan) supaya menjadi seorang yang lebih popular. Banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan.

“Jika menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat publisiti sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, Asyraf Wajdi, yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Alor Gajah di sini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian berkenaan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Asyraf Wajdi berkata, penguatkuasaan terhadap tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit hanya boleh dibuat oleh Jabatan Agama Islam negeri.

“Perak sudah pun membuat fatwa dan kita tunggu jabatan agama Islam negeri ini untuk membuat tindakan penguatkuasaan. Kita di peringkat pusat tidak ada penguatkuasaan,” katanya.

Kerajaan Perak mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015.

Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaru ‘Raja Bomoh’yang juga Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Aksi ‘Raja Bomoh’ itu dipercayai dilakukan rentetan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), 13 Feb lepas.  – Bernama

The post Henti tular upacara ‘Raja Bomoh’: Asyraf Wajdi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?