Isma tegur Nasi Lemak Gay, Pondan promosi kecenderungan seksualiti songsang tanpa rasa malu
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 1 Rejab 1438H, Rabu – Dalam pada masyarakat sibuk membantah babak ‘gay’ dalam Filem Beauty and The Beast terbitan Disney, kini dikejutkan pula dengan berita ‘Nasi Lemak Pondan’ dan ‘Nasi Lemak Gay’.
Gerai Nasi Lemak Gay dilaporkan diusahakan oleh seorang lelaki bernama Adi Yusuf itu, dibuka berhadapan dengan stesen minyak Petronas di Taman Segar, Kuala Lumpur.
Kain rentang peniaga itu turut menggunakan warna seakan warna ‘pelangi’, yang mana cukup sinonim bagi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).
Mengulas isu berkenaan, Pengerusi Biro Dakwah Isma, Ustaz Haji Omar Kassim menegur tindakan itu serta tidak bersetuju dengan perbuatan mempromosikan kecenderungan seksualiti songsang ini secara terbuka dan tanpa rasa malu.
Namun, pada masa masa, Isma tidak menghalang mereka mencari rezeki yang halal, kata Ustaz Omar ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
“Mereka seperti orang lain juga ada hak untuk mencari rezeki dan bekerja. Cuma kita tak setuju mereka cuba mempromosikan seksualiti mereka yang songsang dan seolah-olah memaksa masyarakat menerima mereka.
“Tapi bila “melabelkan” pondan pada nasi lemak itu seolah-olah meletakkan konotasi negatif dan songsang kepada nasi lemak yang pada asalnya adalah suci dan tidak bersalah.
“Lepas nasi lemak pondan, datang pula nasi lemak gay. Adakah nanti akan ada nasi lemak lesbian, nasi lemak pedofil pula? Halus sekali agenda LGBT ini cuba dinormalisasikan kepada masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Omar turut memberikan contoh sirah kaum Nabi Lut yang dipetik daripada Surah An-Naml ayat 56.
“Nabi Lut pernah mengingatkan kaumnya jangan mengikut hawa nafsu dengan melakukan homoseksual.
“Maka kaumnya tidak menjawab selain berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.
“Lut dan para pendakwah ditohmah sebagai orang yang kononnya “suci”.
“Kita mencegah ini bukan kerana berlagak suci. Tetapi kita mengingatkan mereka akan azab Allah yang bakal tiba jika gerakan ini sedikit demi sedikit diterima masyarakat.
“Nasihat saya, mereka yang sudah terlanjur ini, bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan,” tegasnya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook turut memuat naik gambar menunjukkan penjual nasi lemak itu tidak lagi menggunakan nama ‘GAY’.
Sebaliknya, tulisan di kain rentang telah ditukar kepada ‘Nasi Lemak Jogja’ – Rasa memikat hati.
The post Isma tegur Nasi Lemak Gay, Pondan promosi kecenderungan seksualiti songsang tanpa rasa malu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan