Jangan jual agama kerana dunia
Oleh Mohamad Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam
KOTA SAMARAHAN, 14 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Masalah umat Islam akhir zaman apabila wujud sesetengah pihak mempergunakan agamanya sendiri untuk meraih keuntungan perniagaan dan memperlakukan Islam sebagai pelaris jualan.
Ahli Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS), Ustaz Suhail Sufian berkata, penjual agama akan jadi lebih ‘alim’ bukan kerana kecintaannya kepada Islam.
Sebaliknya kata beliau, mereka menggunakan agama bagi memperoleh habuan dunia yang lumayan seperti mempengaruhi orang ramai membeli produk perniagaan.
“Kita dapat melihat sesetengah penjual agama hari ini akan mempromosikan produk perniagaannya dan bersungguh-sungguh mengatakan produknya telah dibacakan 30 juzuk Al-Quran bagi menarik perhatian pelanggan.
“Padahal jika diselidik, dia tak membaca pun 30 juzuk Al-Quran dalam setiap produknya apatah lagi memahami dan beramal dengan isi kandungan ayat. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk Cabaran Umat Akhir Zaman, anjuran Isma cawangan Kota Samarahan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kg Sindang, baru-baru ini.
Menyentuh berhubung perkhidmatan Valet Doa, Suhail berkata, eksploitasi tersebut jelas memberi gambaran yang memalukan kepada Islam sehingga menjadikan doa sebagai bahan perniagaan dan merupakan salah satu cabaran umat akhir zaman.
“Valet Doa ini jelas berlanggar dengan syariat. Sampaikan doa pun mahu buat pakej berniaga dan inilah Nabi telah pesan kepada kita, pada akhir zaman akan muncul golongan-golongan penjual agama yang berselindung di sebalik watak zuhud, pak ustaz dan seumpamanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
“Kita sebagai umat Islam, tuntutlah ilmu dan hidupkan hati yang ikhlas kerana Allah SWT dalam setiap perbuatan kita di dunia. Islam bukan alat dipergunakan, tapi Islam adalah matlamat dan cara hidup yang dituju.
“Sanggupkah kita mengaku dihadapan Allah dengan perbuatan kita menjual agama untuk habuan dunia? Nauzubillah,” katanya.
The post Jangan jual agama kerana dunia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan