Kabinet lulus cadangan RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Kabinet hari ini meluluskan cadangan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu, rang undang-undang itu akan dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama minggu hadapan.
“Rang undang-undang baharu ini memperuntuk mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tertentu dan hukumannya sebagai tambahan dalam perundangan sedia ada.
“Ianya penting untuk menangani kes kesalahan seksual yang semakin serius dilakukan terhadap kanak-kanak di Malaysia.
“Ia juga bertujuan meningkatkan pelindungan bagi kanak-kanak daripada penjenayah seksual serta menjaga kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Oktober tahun lalu menunjukkan sebanyak 12,025 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan angka itu meningkat saban tahun.
The post Kabinet lulus cadangan RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan