Keputusan SPM 2016: Tips berguna buat adik-adikku
Penulis |
Awal bulan Januari yang lepas saya
berpeluang bersama dengan adik-adik lepasan SPM ketika program Karnival Lepasan
Sekolah (KLS) anjuran KRIM Kuala Terengganu. Berbanding KLS tahun lepas,
selain dilibatkan sebagai ajk teknikal, tahun ini sedikit mencabar kerana saya
turut diberikan amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Mentor.
Mencabar bagi saya kerana jurang umur antara saya dan peserta agak besar iaitu
menjangkau 16 tahun. Mujur ketika sesi taaruf di dalam kumpulan tiada di antara
mereka yang memanggil saya pakcik!
Peserta KLS 2017 di Universiti Malaysia Terengganu |
Mengimbau kembali ketika menduduki
SPM pada tahun 2000, keputusan yang diterima sebenarnya tidak melayakkan saya
untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPT. Namun, berkat kesabaran dan
semangat untuk terus berusaha akhirnya terbalas apabila berpeluang bersama-sama
rakan-rakan yang lain menuntut ilmu di menara gading.
Pengalaman tersebut tentunya sangat
berharga. Masakan tidak, masih kuat lagi di ingatan ketika rakan-rakan lain bertukar-tukar pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke ipt masing-masing ketika cuti semester, saya hanya mampu membawa hati kerana berasa rendah diri disebabkan belum berjaya melanjutkan pelajaran dan cuma bekerja sebagai pembasuh pinggan di kedai makan. Jauh disudut hati ketika itu menyimpan hasrat
untuk ke ipt, bahkan perkara tersebut menjadi pembakar semangat untuk saya
terus berusaha dan menyimpan tekad untuk membuktikan kemampuan sebenar jika
berjaya diterima masuk ke ipt.
Sikap tidak mudah berputus asa
sebenarnya merupakan akhlak Islam yang sepatutnya dimiliki oleh setiap muslim.
Keyakinan bahawa setiap kesulitan itu pasti akan ada jalan keluar merupakan
sikap positif yang akan membuatkan kita sentiasa berusaha dan tidak mudah
menyerah kalah. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam surah
Asy-Syarh 5-6; “Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
Benar, sesungguhnya sesudah kesulitan
itu akan ada kemudahan, sepertimana kisah Abu Ubaidah ketika dikepung (oleh
musuh), lalu ia menulis surat kepada Umar radhiyallahu ‘anhu: “Kesulitan apapun
yang didapati oleh seseorang maka Allah akan menjadikan setelahnya kemudahan,
dan sesungguhnya tidak akan pernah menang satu kesulitan melawan dua
kemudahan.” Begitu jugalah pengalaman yang pernah saya lalui, apabila diuji
tidak berjaya menjejakkan diri ke IPT selepas SPM pada awalnya. Akhirnya
berpeluang juga melanjutkan pengajian bermula dari Pra-Sains, Diploma dan
seterusnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan elektrik. Walaupun
perjalanan yang sedikit panjang, tetapi Allah mudahkan ia kerana sepanjang
pengajian tersebut, dengan izinNya tidak ada satu subjek pun yang terpaksa
diulang dan saya berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3 ke atas. Kejayaan
yang besar bagi insan yang hanya mendapat 7D dalam Bahasa Melayu, 8E dalam
Bahasa Inggeris serta C dan D bagi subjek-subjek Sains yang lain ketika SPM.
Pengalaman tersebut juga telah
mengajar saya tentang erti kebergantungan kepada Allah dan redha dengan
ketentuanNya dalam setiap keadaan. Ketika peluang untuk melanjutkan pengajian
seolah-olah mustahil, Allah beri peluang kali kedua kepada saya tanpa
disangka-sangka. Ketika semester pertama Diploma pula, saya saksikan sendiri
bagaimana rakan sekuliah yang cemerlang dalam keputusan SPM, kecundang kerana
hilang fokus dan mula leka dengan cabaran sebagai pelajar IPT. Justeru,
kesimpulan yang boleh saya buat adalah, kita tidak tahu ketentuan yang telah
Allah tetapkan kepada kita. Jadi, tugas kita adalah terus berusaha dan
bertawakkal selepasnya. Jika Allah beri kejayaan, jangan cepat merasakan itu
adalah hasil usaha kita semata-mata hingga menjadi leka dan lupa diri, kerana
boleh jadi ia merupakan ujian Allah untuk kita.
Ibnu Rejab di dalam kitab Jami' Ulum
wal Hikam menyatakan:
ومن لطائف أسرار
اقتران الفرج بالكرب واليُسر بالعسر : أنَّ الكربَ إذا اشتدَّ وعَظُمَ وتناهى ،
وحصل للعبد الإياسُ من كَشفه من جهة المخلوقين ، وتعلق قلبُه بالله وحده ، وهذا هو
حقيقةُ التوكُّل على الله ، وهو من أعظم الأسباب التي تُطلَبُ بها الحوائجُ ،
فإنَّ الله يكفي من توكَّل عليه ، كما قال تعالى : { وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى
اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ }
“Dan termasuk dari rahsia-rahsia
menarik tentang bergandingannya jalan keluar dengan kesulitan dan kemudahan
dengan kesukaran adalah: bahawa kesulitan jika bertambah kuat, bertambah besar
dan bertambah memuncak, maka terjadi pada seorang hamba keputus asaan untuk
(meminta) jalan keluarnya dari sisi para makhluk, dan akhirnya hatinya terpaut
dengan Allah semata, inilah dia tawakkal kepada Allah yang hakiki, dan ia adalah
termasuk dari sebab-sebab yang dicari dengannya hajat-hajat, karena
sesungguhnya Allah akan mencukupi siapa yang bertawakkal kepadanya, sebagaimana
firman Allah Ta’ala: “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Dia lah
pencukupnya."
Gambar hiasan |
Saya umpamakan kehidupan ini seperti pemanduan kereta ke sebuah destinasi yang jauh. Pemandu perlu sentiasa memandang kehadapan supaya dapat mengawal kereta tersebut untuk sampai ke destinasi yang dituju. Namun, dia harus menoleh ke cermin pandang belakang serta cermin sisi sekiranya ingin mengubah laluan dengan selamat. Apabila sampai ke perhentian rehat, dia perlu gunakan peluang tersebut untuk mengembalikan semula tenaga supaya sentiasa segar bagi menyambung perjalanan yang masih jauh. Justeru, dia tidak boleh terleka dengan kemudahan dan makanan yang disediakan di hentian sehingga terlupa destinasinya yang masih jauh itu.
Begitu jugalah kehidupan kita, fokus
terhadap apa yang kita lakukan itu adalah suatu perkara yang penting. Namun,
pengalaman juga penting untuk memastikan liku-liku kehidupan itu dapat dilalui
dengan baik. Kejayaan di dalam satu fasa kehidupan merupakan 'booster' untuk mencapai
kejayaan-kejayaan yang lain dimasa akan datang. Namun, ia bukan penamat bagi
segala-galanya. Dikhuatiri jika kita tenggelam dalam kejayaan tersebut,
kemungkinan kita terlupa akan matlamat sebenar dalam kehidupan dan akhirnya
kecundang ditengah jalan.
Kepada adik-adik yang bakal mengambil keputusan SPM
pada 16hb Mac ini, ada sedikit pesanan yang mungkin boleh dijadikan pedoman:
- Terima keputusan yang bakal keluar nanti dengan penuh redha kerana ia adalah perkara lepas yang tidak mungkin boleh diulang masa kembali.
- Sekiranya anda memperoleh kejayaan, beryukurlah kepada Allah kerana dengan izinNya anda mampu mengecapi kejayaan tersebut. Salah satu tanda kesyukuran adalah dengan sentiasa meletakkan Allah sebagai matlamat dan berusaha untuk terus berjaya tanpa lupa untuk melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya.
- Andainya anda gagal memperoleh keputusan yang baik, ingatlah bahawa ini hanyalah sebahagian daripada ujian untuk meningkatkan lagi keimanan anda kepadaNya. Kehidupan ini masih jauh, Allah Maha Adil kepada hambanNya. Yakinlah, selepas kesukaran pasti akan ada kemudahan. Umpama cahaya yang menunggu di hujung terowong. Teruskan berusaha tanpa putus asa dan jemu, kemudian bertawakkallah kepada Allah.
- SPM atau ujian penilaian yang lain hanyalah satu fasa sahaja dalam kehidupan di dunia. Berjaya atau gagal dengan ujian tersebut bukanlah segala-galanya. Ujian yang lebih mencabar menanti kita sebagai manusia adalah berjaya atau tidak untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t dan menuju ke syurga yang kekal abadi.
Imam Hasan Al-Banna pernah berkata: "Tabir yang memisahkan antara kami dengan keberhasilan hanyalah putus asa, jika harapan tertanam kuat dalam diri maka dengan izin Allah kita akan mencapai banyak kebaikan. Tiga modal utama untuk mencapai tujuan; manhaj yang benar, pendukung yang beriman, pemimpin yang kuat dan terpecaya".
Wallahua'lam.
Nukilan istimewa oleh:
Kamarul Azizan bin Abdul Raman
Aktivis Kelab Remaja ISMA
Cawangan Kuala Terengganu
Kamarul Azizan bin Abdul Raman
Aktivis Kelab Remaja ISMA
Cawangan Kuala Terengganu
Ulasan
Catat Ulasan