Kerajaan digesa perbaharui Dasar Buku Negara: ITBM
KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi menggesa kerajaan memperbaharui Dasar Buku Negara bagi menjadikannya lebih inklusif, selain bertujuan merangsang minat rakyat kepada budaya membaca dan berilmu.
Seiring dengan itu, katanya, indeks bagi mengukur kekerapan pembacaan dalam kalangan rakyat juga dapat diterbitkan sekali gus dapat menilai potensi industri buku.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar ituturut berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya, memastikan kedaulatan kandungan buku yang diterbitkan di negara ini juga dijaga sebaiknya.
“Dasar Buku Negara kali pertama dibacakan pada 1981, dibaca kali kedua 1984 dan dilaksanakan pada 1985, ada yang kata 1989. Tetapi sejak itu dasar ini tidak pernah diubah, kekal sama mengikut acuan zaman dulu.
“Kita menanam harapan menjadikan rakyat berilmu seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50), tetapi kita tidak melakukan apa-apa ke arah menyediakan rakyat dengan ilmu,” katanya di Parlimen, semalam.
Budiman berkata, pembinaan masyarakat berilmu akan dapat dilaksana jika ada satu dasar yang konsisten memastikan pembudayaan membaca dan penulisan buku diperhebat dan disemarakkan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan berdasarkan perangkaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sewajarnya 1,000 buku baharu diterbitkan setahun untuk setiap satu juta penduduk.
“Di Malaysia kita ada lebih kurang 30 juta penduduk tetapi industri kita hanya mampu menerbitkan sekitar 17,000 buku setahun. “Ini sangat berbeza dengan negara maju seperti United Kingdom (UK) yang menerbitkan 200,000 buku setahun, Amerika Syarikat (AS) 300,000 buku manakala China pula 450,000,” katanya.
The post Kerajaan digesa perbaharui Dasar Buku Negara: ITBM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan