Kes Kim Jong-nam: Beberapa lagi individu akan ditahan bagi bantu siasatan
MELAKA, 20 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, terdapat beberapa lagi suspek lain termasuk orang penting yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai kewarganegaraan, bilangan dan lokasi suspek berada.
“Ada beberapa orang media bertanya saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), ada sasaran atau orang baharu (suspek) nak ditangkap. Saya tidak nafikan ada lagi suspek baharu dalam pembunuhan Kim Jong Nam. Berapa ramai suspek, berada di mana, saya tidak mahu sebut. Namun kita percaya ada juga orang penting.
“Bagaimanapun, kita (PDRM) perlu dapatkan dulu empat suspek dipercayai berada di Pyongyang yang kita peroleh notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan mereka.
“Jadi, saya menyeru kepada penguat kuasa di Korea Utara supaya membantu kita menjalankan siasatan. Ini adalah kes jenayah, saya tidak mahu campur hal politik. Ia berlaku di kawasan kami, jadi adalah tanggungjawab kami jalankan siasatan telus mengikut undang-undang Malaysia,” katanya selepas merasmikan program Sang Saka Biru dan pra-pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis ke-210, di Menara Taming Sari, di sini hari ini.
Jong-nam yang merupakan abang tiri pemimpin tertinggi Korea, Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Februari lalu ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas diserang dua wanita menggunakan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu sementara menunggu penerbangan ke Macau.
The post Kes Kim Jong-nam: Beberapa lagi individu akan ditahan bagi bantu siasatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan