MCA sudah seperti cawangan Kedutaan China di Malaysia, kata bekas duta
KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan, kata bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius.
Beliau berkata, MCA juga baru-baru ini menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di samping sebuah pusat One Belt One Road (OBOR).
OBOR merujuk kepada laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi serantau.
Malah, bukan itu sahaja, Deniss berkata, MCA juga turut mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya yang dipetik daripada FMT.
Selain itu, Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang pula dilihat semakin melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-China.
“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan UMNO, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa.
“Huang juga berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan,” katanya.
Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.
Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.
“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Dennis.
Dalam pada itu, katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.
November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut disertai 8 menteri dan 3 menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.
Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
Dennis berkata, sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada UMNO dan BN.
Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.
Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih “sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar kepada China.
Dennis yang mempunyai pengalaman lebih 3 dekad dalam perkhidmatan diplomasi Malaysia, mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China namun apa yang penting baginya adalah memastikan Malaysia tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak.
“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.
The post MCA sudah seperti cawangan Kedutaan China di Malaysia, kata bekas duta appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan