Nahas Bukit Tambun: Lesen pemandu bas ekspres digantung

NIBONG TEBAL, 1 Rejab 1438H, Rabu – Mahkamah Majistret menggantung lesen pemandu bas ekspres yang terbabas dan terbalik di KM152, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, Isnin lalu.

Majistret Shamsol Azwa Martadza memerintahkan lesen memandu Muhd Farizan Awang, 40, digantung sehingga perbicaraan ke atasnya berakhir.

Farizan juga boleh dikenakan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan, kerana menyebabkan kematian penumpang dalam nahas bas berkenaan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dengan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bas secara melulu dan menyebabkan kematian Norazah Azizan, 29, dalam kejadian 4.20 pagi itu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun, dan denda sehingga RM20,000 termasuk penggantungan lesen memandu tertuduh.

Mahkamah menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Muhd Farizan mengambil peguam.

Dalam kejadian pada Isnin itu, seorang maut, enam cedera parah dan 14 yang lain cedera ringan selepas bas Shamisa Ekspres terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra, Kedah.

Bas itu dikatakan terbabas dan hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbalik di tengah lebuh raya.

The post Nahas Bukit Tambun: Lesen pemandu bas ekspres digantung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?