Pasak anak dengan kebaikan tugas bersama
SAYA percaya apa yang diajar dan dipelajari sewaktu kecil akan memberi kesan yang akan membekas sehingga kita dewasa. Kerana itulah anak-anak kecil perlu dididik jiwanya dengan aqidah, akhlak mulia, adab dan nilai-nilai beragama sesuai dengan umur mereka. Saya antara yang sangat terkesan dengan sesuatu yang saya dapat semasa zaman kanak-kanak.
Semasa saya di sekolah rendah, di sekolah saya waktu itu, terdapat seorang kanak-kanak lelaki, anak kepada seorang makcik kantin. Dia sering dipakaikan oleh ibunya dengan pakaian perempuan, disolek dan ditocangkan rambutnya menjadikan dia betul-betul seperti kanak-kanak perempuan.
Adik ini selalu menjadi perhatian dan bualan saya dan kawan-kawan. Kami selalu memerhatikan dia dan akhirnya kami simpulkan waktu itu, makcik itu tidak ada anak perempuan dan dia mahukan seorang anak perempuan menyebabkan anaknya itu dididik begitu.
Masa berlalu dan saya bertukar ke sekolah lain dan tidak lagi melihat perkembangan adik ini. (moga adik ini dipelihara Allah sentiasa hendaknya). Sewaktu di sekolah rendah juga, ustaz saya pernah bercerita tentang kisah Kaum Nabi Luth.
Nabi Luth diutuskan oleh Allah kepada Kaum Sadum. Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah moralnya, tidak mempunyai pegangan agama. Kemaksiatan dan kemungkaran bermahrajalela dalam hidup mereka kerana mereka bergelumang dengn aktiviti hubungan sejenis yang keji.
Maksiat yang paling dasyat dilakukan oleh mereka adalah perbuatan homoseks di kalangan lelaki dan meninggalkan wanita. Kemungkaran ini semakin menular dalam masyarakat sehingga menjadi budaya dalam masyarakat kaum Sadum ketika itu.
Mereka ini telah dibinasakan oleh Allah SWT dengan bencana yang amat dasyat akibat melakukan penyelewengan fitrah yang amat buruk ini.
Sebagai peringatan kepada seluruh manusia, Allah SWT telah memberi peringatan berulang kali tentang balasan buruk ini di dalam Al-Quran. Surah As-Syua’ara ayat 160 -175 menjelaskan kepada kita tentang kisah dan pengajaran dari peristiwa ini. Dalam ayat 160-164, menceritakan usaha-usaha dakwah Nabi Luth menyeru kaumnya supaya mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Nabi Luth mengecam kelakuan dan perbuatan mereka yang keji khususnya amalam homoseksual yang dilakukan oleh mereka. Seterusnya ayat 165 -168, Allah merakamkan sebahagian dialog antara Nabi Luth dan kaumnya.
“Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia(berbuat homoseksual)” : (165).
“Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu (memang) orang yang melampui batas” : (166).
Mereka menjawab, “Jika engkau tidak berhenti wahai Luth (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar” : (167).
“Dia (Luth) berkata, Sesungguhnya aku benci kepada perbuatanmu” : (168).
Bagaimanapun Kaum Sadum ini bukan sahaja menolak dakwah Nabi Luth malah mengugut untuk mengusirnya dari negeri itu. Akhirnya Nabi Luth berdoa, bertawajjuh kepada Allah memohon agar menyelamatkannya berserta keluarganya daripada perbuatan yang mereka kerjakan.
Allah menerima doanya itu dan membinasakan kota Sadum dengan ditimpakan hujan batu yang amat dasyat dan menterbalikkan negeri itu. “Lalu kami selamatkan dia bersama keluarga” : (170).
“Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk golongan yang diazab” : (171). “Kemudian, Kami binasakan yang lain” : (172). “Dan Kami hujani merek dengan hujan batu, betapa buruk hujan yang menimpa orang yang telah diberi peringatan itu” : (173).
Kesudahan azab Allah ini juga disebut dalam alquran dalam beberapa ayat lain, antaranya Surah al-Ankabut ayat 34: “Sesungguhnya, Kami akan menurunkan azab dari langit kepada penduduk kota ini kerana mereka berbuat fasik”.
Ia adalah gambaran kebinasaan penduduk negeri itu kecuali Nabi Luth dan keluarganya yang beriman kepada Allah SWT.
Sewaktu saya mendengar kisah ini saya sendiri tidak pasti apakah itu homoseks. Namun saya ingat betul pesan ustaz supaya saya dan rakan-rakan perempuan tidak sama sekali boleh beraksi, berpakaian dan berperangai seperti lelaki dan rakan-rakan lelaki sebaliknya tidak boleh berpakaian seperti perempuan dan beraksi seperti kanak-kanak perempuan.
Dari perkongsian beliau juga saya tahu tentang batasaan aurat antara lelaki dan perempuan, perempuan dan perempuan, walaupuan waktu itu kami kanak-kanak ribena semuanya bertudung hanya pada waktu persekolahan formal sahaja.
Nasihat ini digabung jalinkan dengan pesanan arwah ibu dan ayah saya supaya sentiasa menjaga batas pergaulan walau di mana saya berada. Pesanan ini betul-betul berguna, saya pasak dan jadikan bekal apabila melangkah ke asrama hinggalah ke hari ini.
Apabila saya terkenangkan pesanan sebegini yang begitu memberi kesan jangka panjang pada diri saya dalam melaksanakan sesuatu sudah tentu saya tidak mahu sama sekali pegangan seperti ini cair dari pegangan anak-anak saya mahupun generasi muslim hari ini.
Justeru, saya sangat tidak bersetuju dengan tayangan filem Beauty & The Beast yang memaparkan adegan yang tidak sihat dan bercanggah dengan norma dan budaya di negara kita.
Jika filem ini ingin ditayangkan juga sudah semestinya saya menyokong penuh adegan tidak sihat dan akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat khususnya golongan kanak-kanak ini dipotong.
Saya menyokong penuh usaha Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang ingin menapis adegan-adegan tidak sihat ini kerana negara kita Malaysia mempunyai undang-undang dan budaya yang perlu dihormati.
Selain itu, saya difahamkan saluran kartun The Disney Channel telah menyiarkan adegan perciuman antara sesama jantina dalam sebuah rancangan kartun merek bertajuk “Stars Vs The Forces of Evil”.
Untuk apa sebenarnya adegan-adegan ini ditayangkan kepada golongan kanak-kanak ini? Saya sangat tidak beretuju sekiranya anak-anak syurga saya melihat dan menonton kartun-kartun, filem-filem mahupun drama yang mengandungi adegan yang jijik sebegini.
Saya cukup bimbang ianya mempengaruhi mereka walau ia ditayangkan dalam jangka masa yang pendek. Saya melihat Walt Disney menerusi filem ini cuba menerobos masuk meracuni pemikiran masyarakat agar menerima, menghargai dan menghormati golongan LGBT secara halus.
Jika babak berdurasi kurang seminit ini dibenarkan tayangannya hari ini tidak mustahil plot cerita seumpamanya akan terus menjadi tayangan biasa yang bakal merosakkan masyarakat. Paling parah apabila pengaruh-pengaruh LBGT ini menular dan menjadi budaya yang akhirnya sukar dibendung.
Saya turut bersedih kerana terdapat masyarakat yang menyokong tayangan filem ini. Pada saya mereka yang menyokong unsur-unsur LGBT ini disebar luaskan dalam masyarakat adalah mereka-mereka yang berideologi liberal.
Puak ini bertegas bahawa tidak akan ada apa-apa pengaruh apatah lagi boleh menjadi gay hanya kerana menonton adegan-adegan pendek gay dalam sesebuah filem.
Benarkah begitu? Usaha besar-besaran pendokong LGBT di seluruh dunia memasak dan memaksa agenda normalisasi gaya hidup terhadap anak-anak muda dan mentah agar jauh dari Islam harus disedari oleh semua pihak secara sedar.
Saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu bersama-sama memasakkan kefahaman agama kepada anak-anak sejak dari kecil. Pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikassi dan Multimedia Malaysia mestilah memastikan pengharaman terhadap apa jua promosi LGBT dari rancangan-rancangan televiseyen dan media.
Para pendidik disemua peringkat mestilah tanpa jemu memasakkan kefahaman-kefahaman agama dan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat. Apa yang dikongsi oleh para guru sebenarnya sangat mempengarahi pemikiran anak-anak kecil ini.
Para ibu bapa juga mesti betanggungjawab sepenuhnya kepada setiap yang ditonton, dilihat dan dibaca oleh anak-anak. Kita sewajarnya bertegas dalam menentukan bahan bacaan yang dibaca, filem dan kartun dan tontonan anak-anak. Beralihlah dari saluran Disney kepada kartun Syamil dan Dodo yang sarat dengan pengajaran aqidah dan nasihat-nasihat berguna.
Akhir sekali tidakkah kita sedar bahawa setiap perkara yang Allah larang pasti ada tujuan-tujuan tertentu untuk kesejahteraan masyarakat sepanjang zaman? Cukuplah azab Allah yang maha dasyat yang dikisahkan dalam al-quran sebagai peringatan berguna buat kita sepanjang meneruskan kehidupan di dunia yang sementara.
Kaslawati Binti Kassim
Penolong Setiausaha ISMA Cawangan Seremban
The post Pasak anak dengan kebaikan tugas bersama appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan