Pasar percuma akan dibuka di seluruh Terengganu mulai bulan depan: MB Terengganu

Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

HULU TERENGGANU, 21 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Golongan kurang berkemampuan di negeri ini bakal menikmati barangan keperluan secara percuma yang disumbangkan orang ramai menerusi pasar percuma di seluruh daerah mulai bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pasar percuma itu yang akan dibuka pada Isnin minggu pertama setiap bulan adalah satu lagi inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat kurang berkemampuan ekoran peningkatan kos sara hidup.

Katanya, orang ramai boleh menyumbang barangan terpakai ke pasar berkenaan yang akan dikutip urusetia pasar selama tiga minggu dalam sebulan sebelum proses pengagihan.

“Selaras dengan itu kerajaan negeri akan turut mewujudkan ‘Hari Bertemu Pelanggan’ di Wisma Darul Iman di sini pada hari sama mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Untuk permulaan kita akan bermula di sini pada minggu depan dengan menyediakan kanopi yang menempatkan barangan keperluan yang mahu diagihkan di samping turut menerima kutipan barangan yang didermakan oleh orang ramai.

“Jadi mereka yang mempunyai senarai nama di bawah sistem e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) boleh mendaftar di kaunter pada Isnin minggu pertama bagi mendapatkan kupon untuk ditukarkan kepada barangan keperluan yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat, Kakitangan Kerajaan dan Swasta di Dewan Sivik Ajil di sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM5 juta bagi menaik taraf longkang besar di Taman Ajil Perdana di sini bagi mengatasi permasalahan banjir yang menghantui penduduk sekitar setiap kali musim monsun tiba.  – Bernama

The post Pasar percuma akan dibuka di seluruh Terengganu mulai bulan depan: MB Terengganu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?