PDRM seru orang ramai salur maklumat tepat, bantu tingkatkan khidmat polis

JOHOR BAHRU, 28 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru kerjasama masyarakat agar menyalurkan maklumat yang tepat menerusi aplikasi kecemasan yang telah disediakan bagi membantu meningkatkan perkhidmatan PDRM.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sehingga kini PDRM telah mempunyai dua aplikasi utama iaitu ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) dan ‘SaveME 999’ yang boleh digunakan untuk menyalurkan sebarang maklumat dan panggilan kecemasan.

“Zaman sekarang ini, masyarakat boleh menghulurkan maklumat dengan pelbagai cara dan bukan hanya menerusi penulisan. Atas sebab itu, kita sediakan VSP yang mana pengguna boleh menyalurkan maklumat berbentuk gambar dan video kepada PDRM.

“Aplikasi ‘SaveME 999’ pula adalah seperti aplikasi ‘My Distress’ yang dilakukan di Selangor dan mempunyai ‘butang kecemasan’ untuk digunakan ketika dalam kecemasan jenayah atau bantuan kecemasan PDRM.

“Ia turut dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) yang akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Nong Chik dan Sekolah Agama Al-Akhyar sempena Bulan Memperingati Hari Polis ke-210, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, melalui aplikasi VSP, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak PDRM selain mengekang informasi yang tidak tepat daripada menjadi tular.

“Kalau kita lihat sekarang ini, semua kejadian dengan mudah akan menjadi tular, jadi daripada membiarkan sesuatu perkara itu tersebar dan maklumat yang tidak sahih, hantarkan maklumat tersebut kepada pihak PDRM untuk kita siasat.

“Dulu kita ada Rakan Cop, yang mana kita boleh menyalurkan maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tetapi dengan aplikasi ini (VSP) kita boleh kongsikan video dan gambar. Ini juga penting kepada PDRM untuk merekodkan keterangan dan bukti sesuatu kejadian,” jelasnya.

Menurutnya lagi, ‘SaveME 999’ merupakan aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Telekom Malaysia (TM).

“SaveMe 999 juga boleh digunakan ketika pengguna berada dalam kecemasan yang mengehadkan pergerakan atau dalam keadaan tidak boleh bercakap,” katanya.

Katanya, semua maklumat yang disalur akan dapat membantu pihak PDRM bagi menghantar bantuan dengan lebih cepat dan tepat.  – Bernama

The post PDRM seru orang ramai salur maklumat tepat, bantu tingkatkan khidmat polis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?