Pemuda Isma cadang solusi bendung gejala rasuah
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 15 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah drastik dalam usaha membendung penularan gejala rasuah dan penyelewengan di negara ini.
Ketua Pemuda Isma, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, rekod statistik siasatan dan penangkapan yang dilakukan oleh SPRM kebelakangan ini menjadi isu yang amat membimbangkan.
Katanya, masalah integriti itu dilihat semakin serius susulan pendedahan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berhubung 50 peratus penjawat awam terlibat rasuah berusia bawah 40 tahun.
“Saya percaya statistik yang dipaparkan hanyalah ‘the tip of the iceberg’ atau gambaran luaran terhadap isu yang pastinya jauh lebih teruk berlaku di setiap peringkat dan institusi kerajaan mahupun swasta.
“Sesuatu yang amat drastik diperlukan untuk mengekang penularan salah laku seumpama ini. Antara langkah terdekat dan cepat yang perlu dilakukan ialah menambah bilangan penguatkuasa SPRM supaya lebih banyak kes dapat dibenteras dan menimbulkan kegerunan di kalangan pesalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengesyorkan supaya pengisytiharaan harta dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang disifatkan mempunyai kemewahan luar biasa dari sepatutnya, termasuk pertukaran berkala bagi posisi strategik terutama dalam kalangan kakitangan awam, selain menguatkuasa hukuman lebih berat.
“Tetapi sudah tentulah, untuk jangkamasa panjang pendidikan dan pencegahan adalah ramuan terbaik yang perlu diberikan fokus berbanding hukuman.
“Integriti harus bermula dari rumah dengan tarbiah Islam yang sempurna. Sistem pendidikan tadika dan sekolah rendah harus menanam elemen ini dengan lebih komprehensif dan praktikal, bukan semata-mata melalui pembelajaran berbentuk teori
“Jika masalah ini gagal dikawal, negara akan terus bergelut dengan isu ketelusan dalam urus tadbir walaupun telah mencapai taraf negara maju,” katanya.
The post Pemuda Isma cadang solusi bendung gejala rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan