Penolakan terhadap RUU 355 adalah penolakan sistem nilai


SAYA sempat menghadiri satu majlis taklimat mengenai RUU 355 yang dianjurkan oleh IKSIM di hotel SP Inn, Sungai Petani kelmarin. Dewan di mana taklimat tersebut berlangsung ‘full house’, mengisyaratkan bahawa isu penambahbaikan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negara ini amat berkait rapat dengan kesejahteraan umat Islam.

Umumnya, setiap aktiviti taklimat, ceramah, pencerahan dan kulian yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam membneri penjelasan dan penerangan tentang kepentingan isu ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari umat Islam tempatan, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan isu teknikal dan bahasa perundangan yang tidak ramai dapat memahaminya dengan tepat.

Umat sudah mula sedar bahawa Usul RUU 355 (sekiranya diluluskan oleh Parlimen) adalah demi maslahat masyarakat Islam sendiri, bersifat adil dan menepati ciri-ciri risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s’.a.w sebagai Rahmatun Lil Alamin.

Umat juga sedar bahawa RUU 355 ini tidak akan menukarkan Malaysia menjadi Negara Hudud atau menzalimi masyarakat bukan-Islam. Ia tidak akan menimbulkan suasana timbunan tangan-tangan yang dipotong di setiap perkarangan Mahkamah Syari’ah atau hospital kerajaan dan swasta kebanjiran pesakit yang terdiri dari pesalah yang hancur luluh daging punggung mereka akibat baru melalui hukuman sebat.

Keperihatinan ini lebih terasa apabila disemak statistik kes-kes kesalahan jenayah Syari’ah yang melibatkan pesalah-pesalah Melayu dari pelbagai peringkat umur dan latarbelakang, laporan-laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat-pusat pemulihan akhlak dan Polis Diraja Malaysia serta realiti keruntuhan akhlak -pembuangan/kelahiran anak luar nikah, perzinaan, kemabukan, perjudian dan seumpamanya yang sangat membimbangkan.

Banyak rumusan dan teori yang dikemukan oleh berbagai-bagai pihak untuk menerangkan punca berlakunya fenomena yang kelihatan hanya mensasarkan dan melibatkan umat Islam sahaja. paparan wajah umat Islam yang memenuhi statistik-statistik ini merupakan kemuncak dari kejahilan umat, kelalaian para pemimpinnya dan tidak terkecuali juga agenda dan perancangan pihak musuh.

Pada pandangan saya, keparahan akhlak, moral dan jatidiri umat Islam tidak boleh dinilai atau dikaji secara berasingan atau terpisah antara satu sama lain. Institusi kekeluargaan, iklim sosial yang bebas merdeka, kuasa media massa dan media sosial, dasar atau polisi pemerintah, peruntukan undang-undang sedia ada, kepentingan-kepentingan kapitalis, suasana keugamaan, silibus pendidikan negara, strategi dan kesan penjajahan, tekanan dan agenda tempatan/antarabangsa, pertembungan ideologi dan sistem yang ingin dominan … semuanya merupakan gabungan sebatian yang membentuk dan menentukan sikap, sifat, nilai, pandangan, pendirian, kecenderungan, pengaruh dan watak pada minda, perasaan dan jatidiri seseorang.

Keadaan ini lebih ketara dan terkesan pada umat Islam lebih daripada penganut-penganut ugama lain. Ini kerana keberadaan umat Islam masakini adalah sinonim kepada umat yang dipandu oleh sistem nilai dari Pencipta Alam yang telah di ‘buku’ kan, yang memiliki khazanah keilmuan yang cemerlang dan pengalaman sejarah yang nyata, realistik dan sentiasa berkembang.

Sistem nilai ini tidak pernah berubah merentasi masa, zaman, bangsa dan tempat.

Sistem nilai ini jugalah yang menentukan apa yang baik dan buruk, maslahat dan mudharat, prioriti kepentingan dan keutamaan, punca-punca keselamatan dan kehancuran, identiti musuh dan kawan dan bagaimana memelihara keseimbangan antara tuntutan keduniaan dan keakhiratan, antara larangan dan kebebasan serta hak-hak peribadi/individu dan hak-hak kemasyarakatan.

Sistem nilai ini tidak ada pada orang-orang kafir dan yang bukan-Islam. Mereka hanya bergantung kepada kemampuan akal, gharizah (instinct) dan hawanafsu – yang semuanya amat terbatas dan serba kekurangan. Kejayaan dan pencapaian lahiriah sepertimana yang disaksikan di dunia Barat memang menakjubkan – membelah angkasa, menerokai dasar lautan, penemuan saintifik, perubatan, industri dan penciptaan.

Bagaimanapun, mereka gagal sama sekali dalam aspek nilai, akhlak, budipekerti dan jatidiri. Sekiranya ada, ia akan diletakkan di bawah kendali dan pengaruh akal (yang serba terbatas) dan hawanafsu yang tidak terkendalikan. Undang-undang yang digubal, dasar yang diinstitusikan dan kehidupan sosial ekonomi dan politik yang berjalan akan selalu mengikuti piawaian akal dan hawanafsu di atas.

Tidak ada suatu nilai yang tetap dan konsisten di dalam budaya, tamadun dan minda mereka. Justeru itu, apa yang disebut sebagai akhlak boleh diubah dan dirubah sesuka hati mereka. Amalan songsang, percampuran akhlak, perzinaan, kemabukan, perlecehan seksual dan kecanduan/ketagihan yang satu masa dahulu dipandang jijik dan nista boleh berubah hukum melalui perdebatan dan pengundian di Parlimen, Dewan Senat atau Kongres pemerintah.

Dan dalam kebanyakan kes, kesan sampingan dan negatif dari penyelewengan nilai ini tidak dapat dikawal atau ditangani melalui penguatkuasaan undang-undang. Pembaca disarankan mengkaji sejarah “Prohibition Law” di Amerika Syarikat, dan melihat sendiri bagaimana gejala ketagihan arak masyarakat di sana cuba dikawal oleh undang-undang, kempen besar-besaran dan dana yangmenelan puluhan juta dolar Amerika. Setelah beberapa tahun dilaksanakan dan dikuatkuasakan, akhirnya kempen ini menemui kegagalan. Malah, jumlah penagihan arak semakin meningkat, jenayah semakin tidak terkawal dan kumpulan-kumpulan ‘Mafia’ dan ‘Gangster’ menjadi satu barah masyarakat – hingga ke hari ini.

[Kita belum menyentuh tentang pergerakan feminisma Barat dan usaha-usaha licik mereka untuk “membebaskan/memerdekakan” para wanita di sana dari apa yang didakwa sebagai satu bentuk kekangan “perhambaan” terhadap nilai tradisional yang dipegang oleh majoriti wanita pada masa itu].

Realiti ini tidak menghairankan oleh kerana yang menjadi dominan adalah kebebasan individu dan kehendak hawa nafsu. Mereka beranggapan bahawa sebarang campurtangan pihak ‘agama’ atau ‘institusi agama’ atau pihak pemerintah sendiri di dalam amalan-amalan atau dosa-dosa “peribadi” (berzina, minum arak, amalan songsang dan seumpamanya) merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi insan, satu perlanggaran terhadap prinsip-prinsip kebebasan dan melangkaui bidangkuasa ‘agama’ dan ‘institusi agama’ [Gereja] yang hanya berfungsi untuk ‘mengendalikan’ urusan ‘peribadi’ seorang hamba dengan Tuhan semata-mata.

Tidak cukup dengan menguasai geografi tempatan, fahaman ini kemudiannya dikembangkan ke wilayah atau benua luar yang kononnya ‘jahil’, ‘mundur’ dan ‘terkebelakang’ dan yang perlu ‘diselamatkan’.

Siri-siri penjajahan (baik masa silam atau masakini) merupakan antara manifestasi dari dominannya akal dan hawanafsu ini.

Kepulauan Nusantara dan Tanah Melayu khususnya sejarah perundangan Islam negara ini juga tidak terselamat dari tsunami dan gelombang penjajahan, yang secara efektifnya telah melenyapkan potensi Tanah Melayu ditadbir oleh Syariat Islam sepenuhnya lalu dibataskan peranan para Raja dan Sultan hanya kepada apa yang disebut sebagai urusan adat istiadat, nikah kawin, pesaka, wakaf dan ibadah-ibadah khusus semata-mata. Adapun bidangkuasa Mahkamah Syariah terhadap kesalahan ’jenayah Islam’, ia dibataskan kepadakadar hukuman yang sangat rendah dan memalukan maruah umat Islam.

Dan selama lebih kurang 30 tahun, itulah derita yang dialami dan terpikul di bahu umat Islam Tanah Melayu.

Di antara alternatif dan solusi yang ditawarkan untuk mengeluarkan umat Islam dari derita puluhan tahun adalah melalui usul persendirian RUU 355 yang diinisiatifkan oleh Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang.

Dengan tidak semena-mena dan secara tiba-tiba, seluruh alam bertempikan seolah-olah diserang histeria dan epidemik penyakit anjing gila!

Parti-parti politik, aktivis ‘hak asasi’ dan ‘kebebasan’, pejuang-pejuang budaya songsang, barisan peguam, sebahagian ‘agamawan’, kumpulan-kumpulan ekstrimis, sekular, sosialis, evangelis, sekularis dan hatta segelintir umat dan organisasi Islam sendiri terus menyinsing lengan dan mula mengatur strategi dan muslihat untuk menghadapi ‘ancaman’ perlanggaran terhadap ‘kebebasan’, ‘hak asasi’, ‘kemerdekaan individu’, ‘nilai-nilai sejagat’, ‘karamah insan’ dan ‘campurtangan’ ugama dalam urusan sosial masyarakat serta pencerobohan terhadap amalan-amalan yang bersifat ‘dosa peribadi’.

Hari ini, penolakan sistem nilai yang dinyatakan di atas akan lebih difahami oleh umat Islam.

Percayalah, kempen penentangan terhadap RUU 355 akan semakin galak dan kencang menjelang tarikh pembentangan di Parlimen nanti.

Pada tarikh itu nanti, umat Islam akan menyaksikan sendiri siapa kawan siapa lawan, siapa yang amanah dan berlaku mandat perlantikan sebagai wakil rakyat di Parlimen dan siapa yang telah menjual kesetiaan dan tanggungjawabnya kepada umat.

Saya amat percaya bahawa sekiranya ahli-ahli Parlimen berugama Islam khususnya mengundi untuk menolak RUU 355 itu nanti, maka umat Islam akan memberi ‘pengajaran’ kepada spesis -anggota anggota Parlimen ini – dengan ‘mengundi’ bagi kekalahan mereka semasa PRU 14 nanti.

Penolakan melalui peti undi terhadap pengkhianatan ahli-ahli Parlimen itu nanti sebenarnya mencerminkan satu pernyataan sikap dan pendirian terhadap penolakan sistem nilai di atas.

Pertembungan ini adalah pertarungan antara dua sistem nilai yang saling bertentangan.

Umat sedang memerhatikan pilihan kamu semua!

Mohd Luttfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Penolakan terhadap RUU 355 adalah penolakan sistem nilai appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?