Penyelewengan hartanah: Exco Johor direman tujuh hari
JOHOR BAHRU, 11 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Mahkamah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari ke atas Exco kerajaan Johor yang ditahan atas tuduhan rasuah dan penyelewengan hartanah negeri itu.
Datuk Abd Latif Bandi, 51, tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9.11 pagi tadi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Abd Latif ditahan kira-kira jam 10.50 pagi semalam di pejabat SPRM negeri itu ketika hadir untuk memberi keterangan membantu siasatan kes berkenaan.
Susulan penahanan itu, SPRM merampas kira-kira 150 utas beg tangan berjenama mewah milik isterinya, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dan wang tunai RM41,000 dalam serbuan di kediamannya di daerah ini kira-kira jam 11.40 pagi, semalam.
Bagaimanapun, nilai keseluruhan beg tangan berjenama Chanel, Louis Vuitton dan Prada serta rampasan lain masih dalam proses penilaian.
24 Februari lalu, SPRM menahan enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun di beberapa lokasi di sini yang terdiri daripada anak dan pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri, dua pemaju, seorang peguam dan seorang awam.
Abdul Latif mengambil cuti selepas anak lelaki dan pegawai khasnya ditahan SPRM dalam operasi pada pagi 28 Februari lalu.
Kesemua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di negeri itu.
Hasil penahanan tersebut, wang sebanyak RM15.5 juta yang disimpan dalam 45 akaun milik suspek dibekukan manakala 21 buah kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai sebanyak RM500,000 dan pelbagai dokumen dirampas.
The post Penyelewengan hartanah: Exco Johor direman tujuh hari appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan