Petronas yakin bayar dividen RM13 bilion kepada kerajaan
KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yakin dapat membuat pembayaran dividen sebanyak RM13 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, jumlah itu adalah berdasarkan prestasi kewangan kumpulan berkenaan pada 2016.
“Ia (pembayaran dividen) diputuskan selepas berbincang dengan kerajaan pada tahun lepas. Malah, kami amat bersyukur di atas sikap para pemegang saham yang amat memahami.
“Perancangan kami bagi tujuan perbelanjaan modal dan pelaburan juga tidak pernah diubah atau terjejas akibat keperluan (membayar) dividen itu,” katanya kepada media selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu bagi 2016, di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Wan Zulkiflee yang juga presiden syarikat itu berkata, jumlah dividen itu juga berbeza setiap tahun kerana berdasarkan keadaan ekonomi semasa, harga minyak serta pelan perniagaan kumpulan itu untuk masa akan datang.
“Saya tidak pasti bagaimanakah keadaan ekonomi, misalnya bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Namun apabila tiba masanya, kami akan memberi penjelasan kepada pemegang saham mengenai program, unjuran, harga minyak dan kedudukan tunai pada masa itu,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2016, syarikat minyak nasional itu membayar dividen sebanyak RM16 bilion kepada kerajaan.
The post Petronas yakin bayar dividen RM13 bilion kepada kerajaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan