Polis, Jawi buru ‘Raja Bomoh’
PETALING JAYA, 20 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia ekoran tindakannya mengadakan upacara ‘memagar Malaysia’, awal minggu lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, beberapa tindakan Raja Bomoh itu telah merosakkan imej Islam.
Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan polis giat mengesan bomoh terbabit sejak Isnin lalu selepas dia bertindak ‘memagar Malaysia’ daripada ancaman negara asing terutama, Korea Utara.
“Jawi dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang berusaha menjejaki Bomoh (Ibrahim). Mereka akan menangkap dan mendakwa beliau yang merosakkan imej Islam,” katanya menerusi satu kenyataan dalam akaun Twitter.
Jumaat lalu Asyraf Wajdi menyifatkan tindakan Ibrahim sebagai mahu meraih populariti dan meminta orang ramai agar tidak menyebarkan upacara perbomohan lelaki tersebut.
Katanya, ini matlamat individu tersebut, iaitu diviralkan (ditularkan) supaya menjadi seorang yang lebih popular. Banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan.
“Jika menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat publisiti sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya,” katanya.
The post Polis, Jawi buru ‘Raja Bomoh’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan