Sekretariat Ummat serah memorandum bantah pindaan Akta 164
Oleh Siti Fatimah Ishak
PUTRAJAYA, 2 Rejab 1438H, Khamis – Gabungan NGO Islam, Sekretariat Ummat hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, bagi membantah cadangan Pindaan Akta 164 yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Memorandum bantahan itu diserahkan Pengerusi Sekretariat Ummat, Haji Aminuddin Yahaya kepada Ketua Setiausaha Sulit, Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Penyerahan memorandum itu berikutan Sekretariat Ummat bimbang dengan cadangan meminda Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) yang disifatkan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Haji Aminuddin berkata, berdasarkan Ordinan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, anak mualaf tersebut secara automatik akan beragama Islam.
“Namun kini, undang-undang baru ingin diperkenalkan yang memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju. Jadi cadangan pindaan tersebut akan memberi kesan kepada kes-kes berlalu yang masih belum diputuskan.
“Ini kerana terdapat pelbagai kes yang telah diputuskan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan yang telah dibuat.
“Pendekatan diambil ini untuk meminda undang-undang akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Memorandum ini turut diserahkan di Pejabat Peguam Negara.
Proses Akta 164 ini difahamkan kini mengambil tempat dalam perbahasan di Parlimen. Pindaan ini akan dibaca kali kedua dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.
Haji Aminuddin yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, semua pihak perlu faham dan jelas bahawa su agama anak bawah lapan belas tahun mempunyai perbezaan dengan isu hak jagaan anak.
“Kita beranggapan pindaan yang disyorkan ini tidak mengambil kira ketetapan mesyuarat oleh alim ulama seluruh.
“Bahkan kerajaan juga dilihat tidak mengambil kira ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke 19 yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak,” katanya lagi.
The post Sekretariat Ummat serah memorandum bantah pindaan Akta 164 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan