Seni mendidik anak dalam pendidikan seksual berteras Islam
“UMMI..” Puteriku yang baru menjengah usia 4 tahun bersuara.
Aku menadah telinga, bersedia untuk mendengar kalimat seterusnya.
“Syida dulu, keluar dari mana ya?”
Aku tersenyum, sambil terselit rasa kagum terhadap perasaan ingin tahu puteriku ini.
“Syida keluar dekat-dekat dengan tempat keluar air kencing,” aku cuba memudahkan gambaran. Rupanya sukar juga untukku menerangkan kepada puteri cilikku ini.
“Lubang kencing? Macam mana boleh keluar? Kepala baby kan besar?” Aku kagum dengan lontarannya, ternyata dia tidak berpuas hati dengan jawapanku.
Aku terfikir sama ada perlu menceritakan anatomi wanita kepadanya, tapi khuatir ia terlalu kompleks untuk difahami.
Aku mula memberi analogi, “Syida pernah main belon kan? Mula-mula belon bersaiz kecil, tetapi apabila ditiup ia akan menjadi besar.”
Syida mengangguk-angguk.
“Lubang tempat baby keluar tu pun sama. Dengan izin Allah, lubang tempat baby keluar dari kecil boleh mengembang jadi besar. Sama macam perut Ummi ni, kempis aje kalau tak mengandungkan baby. Tapi boleh jadi bulat dan besar bila mengandungkan baby.”
Terpancar kepuasan pada wajah Syida, puteri yang disayangi ini.
Pendidikan kesihatan berkaitan sistem reproduktif manusia dan topik berkaitan seksual merupakan subjek-subjek yang bersifat gempar dalam masyarakat Melayu tradisional. Ramai di kalangan ibu bapa berasa buntu dan rimas sekiranya anak-anak mereka terutamanya yang berusia kecil bertanya soalan yang dirasakan lucah dan terlalu rahsia.
Aku cuba membayangkan, sekiranya Syida bertanya soalan tersebut kepada orang lain. Apakah jawapan yang akan diterima oleh Syida.
Maka dengan itu, aku sangat yakin bahawa ibu bapa adalah pendidik terbaik kepada anak-anak untuk mengajarkan ilmu tersebut.
Ibu bapa perlu memenuhi tuntutan intelektual anak-anak supaya mereka tidak menyalurkan pertanyaan kepada orang yang mungkin memberi jawapan durjana.
Islam telah memberi panduan kepada kita untuk menceritakan proses kejadian manusia. Dari titisan air mani hingga menjadi bayi.
Islam juga memberi penerangan tentang perbezaan peranan lelaki dan peranan wanita. Maka dengan itu kisahkan kepada anak-anak kita tentang bagaimana menjaga organ sulit mereka, dan bagaimana ingin menjaga kebersihan diri dan keadaan diri mereka sekiranya mereka baligh.
Islam juga menerangkan peranan nafsu dalam kehidupan dengan cara yang sopan dan murni. Dan bagaimana ingin menangani isu berkaitan nafsu seksual. Serta ajarkan juga sentuhan selamat dan tidak selamat. Dengan siapa harus mereka berhati-hati.
Islam juga mengajarkan kita agar kita faham dengan siapa kita berinteraksi, mahram atau bukan mahram. Sama ada di kalangan ahli keluarga atau orang luar keluarga. Bagaimana juga batas-batas aurat.
Bahkan Islam juga telah memberi panduan bagaimana adab-adab bergaul, sama ada percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat), mengasingkan tempat tidur adik-beradik lelaki dan perempuan, adab menjaga waktu terlarang untuk memasuki kamar ibu bapa, serta adab bertandang rumah orang.
Kita juga perlu menerangkan kepada anak-anak kita perbezaan antara pendekatan Islam dengan acuan Barat yang terlalu terbuka menceritakan topik berkaitan seksual, apatah lagi siap dengan saranan menjalankan hubungan seks selamat, yang sebenarnya zina.
Pendidikan seks Barat tidak menghiraukan bagaimana ingin menjaga anak-anak dari pintu-pintu zina yang boleh wujud dari penglihatan, pendengaran, sentuhan dan perasaan.
Generasi anak-anak kita hari ini diancam dengan isu paedofil, isu seks bebas, isu kecenderungan kepada budaya LGBTQ dan lain-lain isu seputar tema seksual.
Peranan ibu bapa kini bukan sekadar menerangkan hukum-hakam fiqah semata-mata, tetapi perlu mendalami psikologi dan biologi anak-anak termasuk kemahiran berkomunikasi dengan anak-anak.
Jadikan anak-anak cukup rapat dengan kita, kerana orang lain belum tentu mampu memberikan jawapan terbaik sesuai dengan kepentingan anak-anak kita.
Wahai pemegang amanah, berbicaralah dengan anakmu. Moga selamatlah mereka semua di bawah jagaan kita.
Puan Rafiah Ramli
aktivis Wanita ISMA Kota Bahru
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post Seni mendidik anak dalam pendidikan seksual berteras Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan