Skim perumahan hanya mampu dilihat, jadi ‘alat politik’, kata HartaGuam
BANGI, 28 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Skim perumahan mampu milik yang diwujudkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan swasta, bagi membantu rakyat marhaen disifatkan sebagai ‘alat politik’ untuk segelintir golongan tertentu.
Meneliti keadaan semasa, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor menggariskan lima cabaran yang bakal dihadapi dalam perlaksanaan skim perumahan berkenaan iaitu:
* Cabaran dari sudut dana yang besar diperlukan untuk membolehkan perumahan sedemikian didirikan;
* Cabaran dari sudut memilih pembeli-pembeli yang betul betul berkelayakan;
* Cabaran dari segi mentaliti dan persediaan untuk membeli rumah;
* Cabaran pihak bank / pembiaya yang ingin memberikan pinjaman; dan
* Cabaran dari segi syarat-syarat pemilihan pembeli.
Katanya, walaupun matlamat asal pembinaan rumah mampu milik ini untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tetapi daripada pemerhatiannya, apabila dibuat saringan demi saringan dan tapisan demi tapisan, mereka yang mampu beli adalah di kalangan mereka yang bekerja tetap seperti kakitangan kerajaan berstatus jawatan tetap, golongan pelabur hartanah dan ‘orang dalam’ sendiri.
Beliau berkata, skhirnya golongan yang selayaknya sebagaimana yang disasarkan, tetap tidak layak memiliki rumah itu.
“Tidak layak bukan disebabkan mereka itu “orang senang”, tetapi sistem dan cara pemilihan itu sendiri yang “tidak senang” untuk dilepasi.
“Maka akhirnya jadilah projek perumahan yang diwarwarkan untuk rakyat itu sekadar “alat politik” untuk segelintir golongan tertentu dan tidak mencapai matlamat yang disasarkan.
“Bahkan rumah yang banyak didirikan hanya sekadar menjadi tatapan kepada golongan rakyat bawahan dan pertengahan sahaja. Rumah didirikan untuk mereka, tetapi mereka hanya mampu melihatnya sahaja,” katanya hari ini.
Salkukhairi berkata, keadaan ini menjadikan projek perumahan yang diuar-uarkan untuk rakyat itu pada hakikatnya tidak mencapai matlamatnya.
Antara skim perumahan yang ada kini ialah Rumah Mampu Milik (RMM), PR1MA, MYHOME, PPA1M, Rumah SelangorKu. Yang terkini, Skim Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di bawah Yayasan Sultan Ibrahim (YSI).
Dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu ditempuhi individu berkeperluan untuk memiliki sebuah rumah, beliau berkata, rumah yang kebanyakannya didirikan, hanya sekadar menjadi tatapan kepada golongan rakyat bawahan dan pertengahan sahaja.
The post Skim perumahan hanya mampu dilihat, jadi ‘alat politik’, kata HartaGuam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan