Standard baharu uji DNA babi diperkenal

PUTRAJAYA, 28 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya membangunkan standard baharu pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi (porcine).

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, standard yang dibangunkan Jabatan Standard Malaysia itu dikenali sebagai MS 2627:2017 Pengesanan DNA porcine – kaedah ujian – makanan dan produk makanan.

Beliau berkata, standard itu akan memberi keyakinan kepada rakyat terhadap ujian makmal yang dijalankan untuk memastikan produk bebas daripada DNA babi dan dapat digunakan tanpa was-was.

“Standard ini dibangunkan untuk menyeragamkan kaedah pengujian DNA babi yang sebelum ini menggunakan kaedah analisis, peralatan dan pelaksanaan juruanalisis yang berbeza bagi setiap makmal,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, standard baharu itu dapat membantu agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyediakan panduan yang jelas kepada makmal-makmal yang menjalankan analisis DNA.

Makmal terbabit adalah Jabatan Kimia Malaysia, Makmal Kesihatan Awam, Institut Penyelidikan Produk Halal, universiti, makmal swasta dan syarikat pengeluar makanan.

Madius berkata, dengan adanya standard itu, ia dapat mengukuhkan kredibiliti dan kompetensi makmal pengujian yang menjalankan analisis DNA babi.

Katanya, standard itu dibangunkan ekoran beberapa isu membabitkan produk yang diragui status halalnya, termasuk kes coklat Cadbury.

“Keputusan pengujian yang berbeza dalam kes coklat Cadbury telah membangkitkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap pengeluaran sijil halal,” katanya.

Selain standard tersebut, Madius berkata, MOSTI turut meluluskan tiga lagi Malaysian Standards (MS) baharu dan enam MS yang disemak semula pada bulan ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 5,258 MS yang merentasi pelbagai sektor industri yang telah dibangunkan MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia. – Bernama

The post Standard baharu uji DNA babi diperkenal appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?