Tiada harga siling bagi ikan kembung: Menteri
KUALA LUMPUR, 15 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementeriannya tidak akan menetapkan harga siling bagi “ikan rakyat” termasuk kembung yang kini mula meningkat di pasaran.
Katanya, hanya pada waktu tertentu kerajaan akan mengawal pengeluaran ikan rakyat seperti larangan eksport dalam tempoh tiga bulan sepanjang musim perayaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan harga ikan rakyat terutama kembung pada ketika ini didorong oleh faktor pendaratan ikan yang kurang berikutan masih dalam tempoh musim tengkujuh.
“Mungkin tahun lalu ada kelainan (cuaca), tahun ini juga ada kelainan sebab keadaan cuaca tengkujuh yang agak berbeza sedikit (menyebabkan) kurangnya ikan didaratkan, maka menyebabkan harganya tinggi.
“Sekarang ini kita tidak berhasrat untuk menetapkan harga siling bagi kembung, siakap serta ikan rakyat yang lain,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Shabery menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar-BN) berhubung isu kenaikan harga ikan sejak kebelakangan ini dan sampai bila ia akan berterusan.
Ahmad Shabery juga menjelaskan bahawa kenaikan harga mendadak itu tidak berpanjangan, dijangka selesai sebaik musim tengkujuh tamat.
Beliau turut memaklumkan kementerian dan agensi berkaitan sudah mengambil langkah kawalan, dengan menyediakan stok penimbal ikan rakyat untuk dipasarkan ketika musim tengkujuh.
Katanya, stok penimbal yang diusahakan pengusaha ikan mampu menampung permintaan pada musim tertentu, selain berdaya mengawal kenaikan harga mendadak.
The post Tiada harga siling bagi ikan kembung: Menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan