Tiada keperluan mendesak Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Tiada keperluan yang mendesak untuk menjadikan Rukun Negara sebagai sebagai mukadimah Perlembagaan, kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Katanya, beliau belum melihat dan mendengar mana-mana hakim mahkamah merungut berhubung isu itu, termasuk menyatakan kesukaran mereka menafsir Perlembagaan kerana tiada mukadimah.

Justeru, beliau berpendapat tiada keperluan untuk meletakkan mukadimah dalam Perlembagaan Negara sekali gus menegaskan pendirian menolak cadangan kumpulan individu yang dikenali sebagai ‘Rukunegara Mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP)’.

“Sejarah Perlembagaan dan sejarah Rukun Negara adalah amat jauh berbeza. Sejarah Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“Bagi saya sejarah itu sendiri menunjukkan perbezaan sangat ketara dengan Rukun Negara dan Perlembagaan. Rukun Negara tujuannya semata-mata untuk perpaduan kerana ia adalah salah satu aspek dalam Perlembagaan.

“Dalam sejarah Perlembagaan saya menghuraikan di mana penglibatan Raja-Raja Melayu, dan saya fikir kita sangat sudah faham mengenai pihak-pihak yang terlibat dalam penggubalan Perlembagaan.

“Kalau kita lihat laporan Suruhanjaya Reid untuk buat Perlembagaan itu ia mempunyai 118 mesyuarat, 131 memorandum, dan antara yang paling terkenal adalah memorandum Parti Perikatan dengan Raja-Raja Melayu,” katanya pada Sidang Meja Bulat Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Negara?’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin perkataan (wording) dalam Rukun Negara akan mencipta polemik berikutan ia telah berlaku di negara lain seperti Australia dan India.

“Saya amat yakin ia akan mencipta polemik kerana ia sudah berlaku di negara lain seperti Australia mengenai isu Orang Asli dan India berhubung maksud social justice.

“Jadi kenapa kita mahu campak diri kita dalam polemik-polemik yang tidak bersempadan itu sedangkan kita mempunyai perkara-perkara lain yang lebih utama,” katanya.

 

The post Tiada keperluan mendesak Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?