Tiada rakyat Malaysia cedera serangan di luar Parlimen Britain
KUALA LUMPUR, 24 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dan terjejas dalam serangan di luar bangunan Parlimen Britain yang menyebabkan empat, termasuk penyerang terbunuh, manakala kira-kira 40 lagi cedera, hari ini.
Jurucakap Wisma Putra memberitahu Bernama pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan dan memaklumkan segala perkembangan terkini jika ada.
Media asing melaporkan, seorang anggota polis ditikam, penyerang ditembak dan beberapa orang awam cedera dalam insiden yang dilabel sebagai serangan pengganas.
Agensi berita melaporkan, kejadian bermula apabila penyerang yang memandu kenderaan 4×4 merempuh pejalan kaki di Jambatan Westminster, sebelum melanggar pagar bangunan Parlimen. Ada juga mangsa yang jatuh ke dalam Sungai Thames.
Seorang lelaki bersenjatakan pisau kemudian berlari ke arah pintu pagar Parlimen, menyerang anggota polis sebelum ditembak mati.
Pemangku Timbalan Komisioner Polis Metropolitan, Mark Rowley berkata, empat terbunuh dalam serangan, termasuk anggota polis, orang awam dan penyerang terbabit.
Sekurang-kurangnya 40 orang awam cedera dan diberi rawatan kecemasan, sesetengahnya dalam keadaan serius.
Penyerang dipercayai bertindak sendirian ditembak mati. Polis sudah mengenal pasti penyerang terbabit, tetapi belum mendedahkan identitinya.
Kejadian itu dipercayai dilakukan sempena ulang tahun serangan pengganas di Brussels, Belgium, yang membunuh 32 orang.
The post Tiada rakyat Malaysia cedera serangan di luar Parlimen Britain appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan