Tun Fairuz sebak Malaysia masih guna pakai Common Law Inggeris

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 26 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim meluahkan rasa kecewa berikutan Malaysia masih mengguna pakai Common Law Inggeris yang disifatkan beliau sebagai perundangan ‘antik’.

Jelas beliau, Malaysia telah mencapai lebih 50 tahun merdeka dan bebas dari cengkaman penjajah, namun sehingga ke hari ini perundangan ‘lapuk’ pada tahun 1956 itu masih termaktub dalam undang-undang negara.

Beliau dalam syarahannya bertajuk ‘Islam as the law of the land’ di ibu negara hari ini, tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika meluahkan kekesalan terhadap keadaan itu.

“Sekarang ini bila kita mahu gunakan Common Law England, kita tidak guna yang ada sekarang, sebaliknya kita guna pakai Common Law pada tahun 1956, punyalah antik.

“….. kita sudah merdeka sejak 1957 sampai sekarang ianya masih termaktub dalam undang-undang Malaysia. Apa jadi pada peguam-peguam Malaysia? Membenarka undang-undang antik diguna pakai dalam negara kita. Sedih!

“Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim telah menganjurkan agar Seksyen 3 dan Seksyen 5 Undang-Undang Sivil 1956 dimansuhkan, dengan ini kita tidak akan merujuk dengan undang-undang Inggeris yang lapuk itu,” katanya.

Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman.

Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.

Tun Fairuz berkata, beliau juga pernah mencadangkan pemansuhan perundangan ‘antik’ itu pada tahun 2007 supaya ia digantikan dengan undang-undang Islam.

“Mungkin juga ketika itu saya telah mencadangkan bahawa sudah tiba masanya kita memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja untuk negara, malah perundangan antarabangsa.

“Lebih sesuai dan wajar Common Law ini digantikan dengan mana-mana sistem sekalipun asalkan perundangan itu difikir sesuai oleh mahkamah demi melaksanakan dan memberi keadilan,” katanya.

The post Tun Fairuz sebak Malaysia masih guna pakai Common Law Inggeris appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?