Dasar pengambilan pekerja Korea Utara masih kekal
KUCHING, 4 Rejab 1438H, Sabtu – Pengambilan pekerja asing dari Korea Utara diteruskan mengikut tatacara sedia ada dan permintaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.
Masir berkata, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam, hubungan diplomatik dua negara masih dikekalkan dan rakyat Korea Utara masih bebas untuk melawat negara ini, begitu juga sebaliknya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Watikah Pelantikan Lembaga Hakim Pelawat Peringkat Negeri Sarawak di Pejabat Penjara Negeri Sarawak, Jalan Puncak Borneo hari ini.
Masir turut mengesahkan bahawa Jabatan Imigresen Sarawak baru-baru ini telah menahan beberapa pekerja rakyat Korea Utara kerana didapati bekerja di negeri ini tanpa permit yang sah, tetapi kesemua mereka telahpun dihantar pulang ke negara asal.
Sementara itu, beliau berkata sehingga kini terdapat 58,000 banduan di penjara di seluruh negara termasuk 2,078 orang di penjara-penjara di negeri
Sarawak.
Katanya, 30 peratus banduan di penjara di Sarawak adalah warga asing yang menjalani hukuman kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah, majoritinya menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negeri ini dan juga bekerja dengan permit kerja yang sudah tamat tempoh sahnya. – Bernama
The post Dasar pengambilan pekerja Korea Utara masih kekal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan