MARA Patani gesa Thai siasat kematian dua pemuda di Narathiwat

BANGKOK, 4 Rejab 1438H, Sabtu – MARA Patani menggesa kerajaan Thailand menyiasat dengan teliti insiden di Daerah Ruso, Narathiwat, baru-baru ini yang mengakibatkan dua pemuda ditembak mati.

Jurucakapnya, Dr Abu Hafez al-Hakim berkata, terdapat laporan yang bercanggah daripada pihak berkuasa, media dan saksi tunggal yang terselamat berhubung hakikat sebenar tragedi itu yang membawa kepada kematian pemuda berkenaan.

“MARA Patani menggesa pihak berkuasa Thai menyiasat dengan teliti insiden itu dari segenap sudut dan menghebahkan kepada umum hasil siasatan itu untuk mengelak salah tanggapan, kekeliruan dan ketidakpercayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumpulan itu mengucapkan takziah dan meminta keluarga mangsa supaya bersabar.

Pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) 29 Mac, anggota keselamatan Thai menembak mati Aseng Useng, 30, dan Ismail Hama, 28, dalam insiden yang didakwa sebagai berbalas tembakan di Kampung Tebing Luluk, Mukim Khok Setor, Daerah Ruso.

Menurut laporan media yang memetik Ketua Polis Daerah Ruso, Kolonel Reangsak Buadeang, kedua-dua lelaki itu dipercayai anggota kumpulan militan, Runda Kumpulan Kecil (RKK), suatu dakwaan yang disangkal oleh anggota keluarga dan penduduk setempat.

Berikutan insiden berbalas tembakan itu, penyiasat mendakwa menjumpai sepucuk pistol automatik dan raifal M-16 bersebelahan mayat mangsa serta sebuah trak pikap.

Insiden itu, kata Abu Hafez, mengingatkan masyarakat mengenai pembunuhan beramai-ramai Thung Yang Daeng dua tahun lepas, yang menyaksikan empat lelaki muda mati ditembak oleh pasukan keselamatan.

MARA Patani adalah badan induk yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thai, yang ketika ini terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan Thai, dan kerajaan Malaysia adalah pemudahcara.

Bulan lepas, kedua-dua pihak mencapai kejayaan cemerlang apabila mereka bersetuju menubuhkan Zon Keselamatan di selatan Thai, sungguhpun lokasi zon yang tepat masih dalam perbincangan. – Bernama

The post MARA Patani gesa Thai siasat kematian dua pemuda di Narathiwat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?