Banjir kilat: 149 pindah di Melaka, 43 di Batu Pahat

MELAKA, 3 Syawal 1438H, Selasa – Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka meningkat kepada 149 orang setakat 4 petang ini berbanding 124 orang pagi semalam, dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Alor Gajah dan Jasin dekat sini menjadikan empat pusat pemindahan beroperasi setakat ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, dua pusat pemindahan baharu itu ialah Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Di daerah Alor Gajah, Balai Raya Bukit Tambun kekal dengan 87 mangsa merangkumi lapan keluarga, Balai Raya Bukit Balai melibatkan 40 mangsa daripada enam keluarga, manakala Balai Raya Kampung Pulau seramai 15 mangsa merangkumi lima keluarga.

“Di daerah Jasin, seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di SK Tehel,” katanya dalam kenyataan di sini.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri lima kawasan dalam tempoh lima hingga tujuh jam kemudian.

“Lima kawasan yang dilanda bencana itu ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau di Alor Gajah dan Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di Jasin,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini cuaca dilaporkan baik dan keadaan banjir masih terkawal.

Di BATU PAHAT, seramai 43 mangsa daripada tujuh keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat setinggi 0.6 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kejadian lewat tengah hari tadi itu melibatkan penduduk Kampung Sungai Kluang, Rengit yang ditempatkan di PPS Kampung Parit Jalai.

Usaha memindahkan mereka dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Banjir berpunca daripada limpahan air pasang akibat benteng empangan atau pemecah ombak pecah. Kerja-kerja pembaikan sedang diuruskan oleh JPS Batu Pahat manakala bantuan telah disampaikan oleh JKM,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

The post Banjir kilat: 149 pindah di Melaka, 43 di Batu Pahat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian