Gejala Buli: Dari kaca mata seorang mangsa…

“Alah, sikit je, takkan tu pun tak boleh tahan”………

9 Tahun yang lalu, saya telah mendapat tawaran ke salah sebuah sekolah berasrama yang beprestij di Malaysia. Betapa gembiranya seorang anak, apabila jerih payah menjawab UPSR telah membuka ruang dan peluangnya untuk memasuki sekolah impiannya sejak kecil lagi.

Namun begitu, sayang seribu kali sayang, sekolah yang indah pada nama, namun rosak pada budayanya. Apabila menjadi sebahagian daripada sekolah tersebut, barulah saya tahu bahawa buli dijadikan satu budaya di sekolah ini. Para pelajar tingkatan 1 dan 2 dijadikan seperti kuli, hamba kepada senior, boleh disuruh ke sana ke mari, dimarah sesuka hati dan di arah mengikut peraturan-peraturan buatan pelajar ‘senior’ sendiri.

Rakan sebilik dan sekelas memberitahu, perkara-perkara sebegini tidak boleh diadukan pada para guru mahupun ibu bapa. Alasan mereka kerana budaya ini adalah tradisi sekolah supaya menguatkan pelajar dan tidak mahu merisaukan hati ibu bapa. Sebulan pertama, saya hanya mampu angguk dan tunduk, walaupun saya tidak langsung gembira dengan suasana sekolah tersebut.

Suatu hari semasa cuti, ibu dan ayah saya mendapat khabar berita dari rakan mereka bahawa buli telah dibudayakan di sekolah tersebut. Apabila mereka bertanya kepada saya adakah ini benar, saya menjawab ya lantas barulah saya tahu sebenarnya tradisi buli merupakan suatu perbuatan yang salah dan bukanlah sesuatu yang normal. Saya, Ibu Bapa serta beberapa ibu bapa yang lain bersama pengetua sekolah berusaha dan menongkah arus agar tradisi sebegini dihapuskan kerana ia memberi tekanan emosi terhadap diri pelajar.

Apabila terbongkar berita mengenai agenda kami, saya telah menjadi pelajar yang di’target’ para senior dan ditekan rakan-rakan sebilik agar berhenti mengadu. Saya dianggap pelajar lembik, dan pembawa masalah kepada rakan-rakan setingkatan. Tekanan seperti pemulauan, dimarah rakan sebilik, dipulaukan senior telah menyebabkan saya mengalami tekanan depresi, trauma serta rasa ingin membunuh diri. Kemelut ini semakin serius apabila barang-barang saya dicampak dari katil ke lantai,saya dan keluarga difitnah oleh senior dan diugut akan di marahi oleh semua para pelajar tingkatan empat ketika itu. Akhirnya, saya telah dirujuk kepada doktor pakar psikatri dan dicadangkan agar keluar dari sekolah tersebut akibat tekanan depresi dan buli mental serta emosi yang saya alami…

Sehingga hari ini, kejadian itu masih terkesan dan memberikan impak terhadap diri saya…

Adakah buli itu normal?

Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa budaya membuli adalah normal dan bertujuan untuk menguatkan jati diri dan semangat sesorang. Ada juga yang berpendapat, budaya tersebut merupakan sesuatu perkara yang normal dan  sebahagian dari pengalaman pembesaran seorang remaja.

Gejala buli didefiniskan oleh pengkaji psikolgi sebagai bentuk-bentuk perbuatan agresif serta disengajakan yang disasarkan pada seorang individu atau ramai secara berulang kali dengan tujuan untuk menyakitkan atau menyeksa individu tersebut. Kebiasaannya, pelajar yang membuli ini mempunyai ‘kuasa’ keatas mangsa seperti pelajar ‘senior’, ketua dan sebagainya. Perbezaan ‘kuasa’ inilah yang seringkali menjadi asbab bermulanya tradisi buli. Perbuatan  buli juga merangkumi buli dari segi fizikal, emosi, dan mental serta memulaukan seseorang individu dari sesebuah kumpulam,

Perbuatan ini kononnya dianggap mengiktiraf kuasa senioriti para pelajar serta mengajar para pelajar junior menghormati ‘senior’ mereka. Mereka berkuasa melakukan apa sahaja kepada pelajar junior; basuhkan baju, gosokkan baju, kejutkan di waktu pagi, dimarahi jika salah atau tidak mengenali nama penuh senior. Ramai yang berpendapat, perbuatan ini adalah sekadar ‘membantu’ senior. Tetapi, persoalan yang timbul kepada saya, sejak bila pelajar junior ini dilantik sebagai orang gaji atau hamba abdi pelajar senior?

Awas, jika ada mangsa yang membuka mulut, mengadukan pada pengetua atau ibu bapa, para pelajar senior akan mensasarkan si pengadu, mendera pelajar secara emosi dengan memarahi atau memulaukan si pengadu. Mungkin dimaki, diherdik tanpa usul periksa, ada juga yang didera secara fizikal. Harus menutup mulut untuk menjaga nama baik sekolah dan senior. Maka, di manakah yang normalnya tradisi ini?

Maka, wajarlah saya katakan, perbuatan buli ini adalah tidak normal sama sekali. Malahan, kesalahan-kesalahan ini termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 pindaan 2016. Para pembuli juga boleh didakwa di Mahkamah jika tindakan di ambil oleh mangsa.

Tindakan Mangsa

Mangsa buli berisiko untuk mengalami tekanan emosi akibat ‘serangan’ yang mereka alami. Antaranya adalah trauma, depresi, anxiety, sentiasa berasa sedih, perubahan corak tidur, hilang selera makan, serta hilang minat untuk melakukan apa sahaja termasuklah hobi dan lain-lain. Kesihatan mereka juga merosot. Tekanan yang dialami mangsa juga mampu memeri impak negative terhadap pencapaian akademik mereka. Malahan, boleh membawa kepada rasa ingijn membunuh diri. Jika tidak dirawat, kesan-kesan ini boleh berpanjangan sehingga dewasa.

Jika anda merupakan seorang mangsa buli, dengarlah, anda tidak keseorangan. Adukan pada mana-mana orang dewasa yang anda percaya, seperti guru kaunseling atau ibu-bapa. Jangan sesekali memendam rasa atau merasakan ini semua biasa. Anda juga seorang insan, yang layak dihormati dan dilayani secara berhemah.

Ya, saya pasti, trauma itu akan sentiasa ada pada diri anda. Malahan, kejadian hitam ini mampu mengakibatkan anda merasa depresi atau mengalami Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). Jangan berdiam diri wahai sahabat, carilah bantuan. Bantulah diri anda, berjuanglah untuk diri anda. Biar diecmuh, biar dipulau, jangan biar diri anda dimangsakan oleh sekumpulan pelajar yang tiada adab dan hemah.

Tindakan ibu-bapa

Ibu bapa haruslah memerhatikan tingkah laku anak-anak anda. Jika terdapat perubahan tingkahlaku seperti tidak gembira, sering memberi alasan tidak mahu ke sekolah, perubahan mood anak serta hilang selera makan, ini mungkin menjadi tanda-tanda bahawa anak anda sedang di buli. Walau bagaimanapun, jika anda mendapati bahawa anak anda semakin agresif daripada biasa, kemungkinan besar anak anda terlibat aktiviti membuli.

Jangan pernah menganggap buli ini normal. Berkomunikasilah dengan anak-anak anda untuk mengetahui kehidupan seharian mereka terutamanya di sekolah. Ibu bapa harus tahu apa yang dikategorikan sebagai buli dan apa yang tidak.

Jika anda mendapati bahawa anak anda dibuli dan keadaan ini berterusan, adukan perkara ini kepada guru berkenaan atau mana-mana pihak berwajib. Hal ini adalah kerana, hari ini mungkin kita rasakan seperti normal, hari esok, mungkin yang cedera dibuli itu boleh jadi anak anda, dan nauzubillah, mungkin juga boleh memudharatkan diri dan membawa kepada kematian jika ia berlarutan dan tiada tindakan yang diambil kelak.

Seharusnya, Ibu bapa hendaklah menyokong anak-anak. Bukan melemparkan tuduhan bahawa anak-anak yang dibuli ini bersikap lembik dan tidak kuat. Ia mampu memberi tekanan kepada anak anda, mampu juga membawa kepada trauma dan depresi. Sokongan ibu bapalah yang paling penting kerana inilah yang membuatkan anak anda kuat, membantu anak anda untuk bangkit semula dan melawan segala trauma, depresi berpanjangan, segala rasa amarah yang terbungkam kepada pelaku buli. Andalah yang mampu menjadi cahaya saat anak anda merasakan dunianya gelap gelita. Andalah ibu bapa, yang mampu menguatkan anak-anak anda semula.

Seruan kepada Kementerian Pendidikan

Gejala buli hari ini semakin menjadi-jadi, terutamanya di sekolah berasrama. Baru-baru ini, 10 pelajar MRSM  telah ditamatkan pengajian mereka kerana telah membuli seorang pelajar secara fizikal. Ya, sudah tiba masanya untuk kementerian melihat, mengkaji dan meneliti semula system sekolah berasrama penuh, baik MRSM mahupun SBP serta harian berasrama bagi membendung gejala ini.

Pihak kementerian harus mengambil inisiatif dan turun padang, melihat sendiri keadaan para pelajar, budaya yang menjadi tradisi sekolah tersebut. Apabila ada ibu bapa atau murid yang mengadu, siasatlah sebaik-baiknya. Janganlah dipandang enteng gejala ini. Ini adalah realiti sekolah berasrama, realiti dan tradisi yang harus diubah. Sudahlah para pelajar ini jauh dari keluarga, ditekan pula dengan tradisi sampah membuli, apalah nasib anak-anak cemerlang ini?

Mahukah kita melihat generasi kita hari ini membesar dalam suasana yang sebegitu ‘kejam’? Mahukah kita melihat anak-anak kita hari ini membesar dengan menormalisasikan perbuatan buli, menghalalkan perkara yang jelas salah dan sesuka hati menyakitkan orang lain?

Kemungkinan, kejadian kematian pelajar UPNM akibat ‘diseksa’ pelajar tahun tiga yang menuduh beliau mencuri laptop itu bertitik tolak daripada kebiasaan mereka menghukum ‘junior’ di sekolah. Jika tiada pencerahan dan larangan terhadap gejala buli di sekolah, ia mampu berlarutan sehingga peringkat universiti, dan mungkin kejadian hitam sebegini mampu berulang kembali!

Sebagai seorang pelajar dalam bidang sains sosial, saya melihatkan gejala buli ini hanyalah mendatangkan mudarat, bukanlah kebaikan. Mangsa yang pernah ‘diserang’ hidup dalam ketakutan, si pembuli pula, jika terlepas hukuman, kemungkinan akan sentiasa bersikap kejam dan agresif terhadap orang yang lebih rendah darinya. Akhirnya, budaya yang salah ini dinormalisasikan dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Namun begitu, masyarakat harus tahu dan faham, buli bukanlah sesuatu yang normal. Tiada bukti kukuh bahawa buli ini mampu menguatkan jati diri seseorang, namun lebih banyak bukti bahawa buli hanya membawa mudarat.

Akhir kalam, seruan saya kepada semua, hentikanlah tradisi buli, baik di sekolah mahupun di universiti. Semua pihak haruslah berganding bahu bekerjasama, agar gejala ini dpat dibendung. Saya menyeru kepada pihak-pihak berwajib, turunlah padan ke sekolah-sekolah berasrama, berilah pencerahan kepada guru-guru dan murid-murid sebagai langkah awal pembendungan gejala yang membarah ini. Kemudaratan terhadap mangsa bukanlah sedikit, namun mampu berpanjangan sehingga akhir hayat. Jangan biarkan tradisi sampah ini dibudayakan dalam masyarakat kita yang tinggi hemah dan adab!

Semoga bermanfaat

Amalina binti Annuar
Pelajar Tahun Akhir, Kajian Khidmat Sosial, Fakulti Sains Sosial
Universiti Malaysia Sarawak
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Samarahan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?