Kerana Quran Bilal Jadi Luar Biasa
Sungai Petani, 12 Jun – “Turunnya Al-Quran telah menjadikan manusia luar biasa”, demikian ujar Dr Zaki Ibrahim dalam ceramah beliau sempena sambutan Nuzul Quran di Surau Imanuddin PPR Paya Nahu 2, Sungai Petani yang dianjurkan oleh ISMA cawangan Sungai Petani dan pihak surau.
Memberi contoh sahabat Nabi s.a.w, iaitu Bilal bin Rabah, beliau menggambarkan bahawa Bilal pada asalnya sekadar merupakan seorang hamba sahaya yang tiada agenda besar. Tetapi apabila beliau menerima risalah Islam dengan turunnya Al-Quran, minda dan pemikiran beliau berubah sehingga menjadi luar biasa malah sehingga dilantik menjadi gabenor di wilayah Syam.
Antara peristiwa ikonik dalam sirah Nabi s.a.w ialah di mana Bilal disiksa oleh kaum kafir Quraisy dengan diletakkan batu yang cukup berat di atas dadanya, di bawah terik matahari. Bagaimanapun, keazaman beliau yang tinggi hasil kefahaman yang kuat terhadap Al-Quran, menjadi kekuatan untuk beliau kekal menolak desakan untuk meninggalkan Islam.
Ceramah pada malam ini dihadiri oleh sekitar 80 orang warga PPR Paya Nahu 2. Ianya disampaikan sebagai tazkirah seusai solat terawih dan witir dilaksanakan. Program sambutan kali ini merupakan antara acara utama dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan ISMA Sungai Petani sepanjang Ramadhan tahun ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan