Pedang dapat ilham ulas kenyataan Zamihan Al-Ghari dalam tandas….
Begitulah kadang-kadang bagi seorang wartawan, idea untuk menulis datang tak tentu masa. Kadang-kadang waktu tidur, tiba-tiba terjaga dan mendapat ilham menulis. Kadang-kadang dalam tandas. Demikianlah resam dunia kewartawanan yang Pedang kecimpung sejak lebih 30 tahun lalu.
SEORANG rakan memberitahu Pedang, ada seorang lelaki yang katanya ‘ustaz’ dan mahu digelar orang sebagai ‘ulama’ membuat ulasan mengenai laporan ismaweb.net semalam, 17 Ramadan 1438H, bertajuk ‘Mufti Wilayah sedia jumpa Zamihan’ (telah dipadam), yang katanya adalah berita basi.
Pedang pun semak semula dan wartawan yang memuat naik berita itu mengaku kesilapannya. Memang benar. Seperti kata Zamihan Mat Zin berita itu sudah basi kerana kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Facebook beliau, dibuat pada 11 Rabiulakhir 1438H lalu.
Menyedari kesilapan itu, ismaweb.net memadam berita berkenaan. Biasalah, bagi mana-mana portal berita akan memadam sesuatu laporan lama, yang disiarkan semula kerana kesilapan teknik. Dalam kes ‘Mufti Wilayah sedia jumpa Zamihan’, yang disiarkan semalam, Pedang akui ia adalah berita lama, tetapi ia bukan berita bohong atau fitnah yang memungkinkan ismaweb.net memohon maaf.
Lagipun, sebenarnya ismaweb.net sudah menyiarkan berita Dr Zulkifli sedia berjumpa Zamihan pada 11 Rabiulakhir lalu (seperti gambar di atas). Sebab itu, Pedang kata berita yang tersiar semalam adalah kesilapan teknik sahaja.
Dan, pada mula dimaklumkan mengenai ulasan Zamihan mengenai berita basi itu, Pedang rasa tidak perlu memberi apa-apa komen – memang ia satu kesilapan teknik. Lagipun, Pedang tak kenal siapa Zamihan, apa kerjanya, ustazkah, ulamakah, muftikah. Jadi Pedang buat tak peduli saja.
Tapi, tatkala sedang termangu ‘melepaskan hajat’ selepas berbuka puasa semalam, Pedang mendapat ilham untuk mengulas kenyataan Zamihan dan mencari maklumat mengenai yang empunya diri. Maknanya, dalam tandas sahaja Pedang terfikir mengenai ulasan Zamihan dalam Facebooknya beberapa jam selepas ismaweb.net memuat naik berita ‘basi’ itu. Kata Zamihan:
“ISMA DAN UTUSAN MSIA KETINGGALAN INFO
Sepertinya ada keterujaaan untuk membela Mufti Wilayah Persekutuan, sehingga mendorong portal berita ISMA dan malah Utusan Malaysia
sanggup keluarkan berita basi dan kitar semula 5 bulan yang lalu. Lalu mereka menyiarkan berita sebelum berlakunya muzakarah antara Ustaz
Zamihan dgn Mufti Wilayah.
http://ift.tt/2slMj5k
Alang2 ingin mengulang siar berita lama …mengapa tidak disiarkan laporan pasca muzakarah berkenaan? Kebiasaannya, sikap tidak bertabayyun
menjadikan sesetengah manusia bersikap tidak adil di dalam perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.
Berikut adalah contoh berita lama, tetapi sekurang-kurangnya pasca-muzakarah, bukan pra-muzakarah:
http://ift.tt/2sVFELV
dan
http://ift.tt/1yjU4oF
Lebih baik kalau disiarkan sekali rakaman penuh muzakarah tersebut, walaupun cerita 5 bulan lepas, sekurang-kurangnya masyarakat dapat
menilai apa yang sebenarnya berlaku di dalam muzakarah itu dan tidak lagi meneka di dalam kegelapan.”
Tak sangka pula Zamihan baca berita dalam ismaweb.net dan pantas membuat teguran – yang sudah menjadi amalan hidupnya. Dia akan menegur jika dirasakan sesuatu maklumat ‘salah’ mengenai Islam yang dia kenali dan fahami, walaupun maklumat itu disampaikan oleh pihak yang bertauliah, termasuk mufti-mufti.
Dia rasa hanya dia sahaja yang benar dan betul berdasarkan ilmu yang dipelajarinya. Orang lain salah. Dia tidak boleh disanggah langsung, hatta untuk mengatakan caranya adalah salah juga tidak boleh, kerana dia atau pengikut-pengikutnya akan pantas menjawab dengan mengeji atau menyindir orang yang membuat teguran.
(p/s: termasuklah tulisan ini yang pasti akan menjadi sasaran mereka menuduh Pedang penyokong atau pengikut Wahabi, Syiah atau lain-lain sesedap mulut mereka, kerana kononnya merekalah orang-orang yang benar – tak pernah buat salah – Pedang tak kisah pun).
Daripada kenyataan Zamihan “seperti ada keterujaan untuk membela Mufti Wilayah Persekutuan, sehingga mendorong portal berita ISMA…..”, Pedang rasa dia dan pengikutnya sudah mengecop ismaweb.net sebagai penyokong Dr Zulkifli, yang dia tuduh sebagai membawa fahaman atau aliran Wahabi dan berbahaya kepada Malaysia. Pastinya juga mereka menuduh ismaweb.net dan Pedang sebagai Wahabi.
Daripada maklumat yang Pedang peroleh, Zamihan adalah Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia, singkatannya Aswaja. (p/s: Kalau tak masuk pertubuhan ni tak masuk Syurga ke?). Pedang terus membaca mengenai Zamihan dan boleh dirumuskan bahawa dia adalah penentang kuat fahaman yang didakwanya Wahabi. Dia juga penentang kesesatan Syiah dan golongan Islam lain yang dituduhnya sesat.
Dia mengeluarkan fatwa-fatwa dan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan orang yang dianggapnya mengamalkan ajaran Islam yang tidak betul. Mufti-mufti seperti Mufti Perlis, Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa agama Islam Kelantan, atau pihak yang dilihatnya condong kepada Wahabi, kerap menjadi sasarannya.
Sesungguhnya kelihatan hanya dia sahaja yang betul, manakala orang lain yang diiktiraf oleh kerajaan adalah salah. Paling kerap dia ‘membelasah’ Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Dr Zulkifli – dua individu yang dituduhnya berfahaman Wahabi dan mahu membawa aliran Wahabi di Malaysia.
Terbaharu, pada pagi 13 Ramadan 1438H lalu dia membentangkan kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa Dr Zulkifli adalah penyeleweng dan mengaitkan Mufti Wilayah Persekutuan itu dengan ajaran Wahabi.
Gambar slaid pembentangannya ‘Penyelewengan mufti Wilayah Persekutuan dan kaitannya dengan ajaran Wahabi’, menjadi tular di media sosial. Zamihan sendiri mengesahkan pembentangannya itu. Akibatnya (betul atau tidak), MAIS dikatakan tidak membenarkan Dr Zulkifli berceramah di Selangor.
Selepas terdedah, Zamihan mengulas pembentangan itu dalam Facebooknya. Biasalah! Kalau tak terdedah mungkin dia diam sahaja dengan sikap ‘tikam dari belakang’ – selepas gembira, puas hati mendapat tauliah dari Dr Zulkifli dan tersenyum bila bergambar dalam pertemuannya dengan Mufti Wilayah Persekutuan pada 20 Rabiulakhir lalu.
Zamihan senyum gembira ketika menerima tauliah membolehkannya mengajar agama Islam daripada Mufti Wilayah Persekutuan pada pertemuan 20 Rabiulakhir lalu dan pada 13 Ramadan lalu pula ‘menikam’ mufti itu.
Catatan muzakarahnya bersama Mufti Wilayah Persekutuan pada 20 Rabiulakhir itu yang dicadangkannya supaya ismaweb.net menulisnya boleh dibaca dalam Facebooknya. Baca dan nilai sendiri.
Pedang juga lihat pada sisi lain berdasarkan kenyataan dan sindiran kepada mereka yang berjawatan lebih tinggi daripadanya, Zamihan ini teringin menjadi penggubal dasar Islam di Malaysia atau ‘tok mufti’ atau menduduki jawatan penting dan tinggi yang ada kaitan dengan Islam di Malaysia, selepas ‘ditendang’ 24 jam daripada Kementerian Dalam Negeri, tahun lalu.
Pedang bukan hendak ‘berperang’ dengan Zamihan macam yang selalu dia lakukan pada orang lain. Dari satu segi ilmu Pedang lebih tinggi daripada Zamihan, dan dari segi lain pula ilmu Zamihan lebih tinggi daripada Pedang. Tapi maaflah Pedang tak boleh ikut orang sepertinya. Pedang bersederhana sahaja.
Pedang nasihat mereka tak usah bangga sangat. Bersederhanalah. Jangan ingat diri sendiri betul segala-galanya. Mati nanti orang lain yang tolong mandikan, tolong pakaikan baju, tolong pakaikan wangi-wangian, tolong angkat, tolong baringkan, tolong solatkan, tolong doakan. Silap-silap yang dituduhnya menyeleweng akan turut mendoakannya. Pedang pun akan alami begitu dan Pedang menginsafi supaya tidak bangga atau riak.
Teringat juga Pedang. Seorang rakan memberitahu Pedang bahawa dia bertanya Zamihan di mana pusat Wahabi, tetapi Zamihan atau pengikutnya tak jawab. Daripada carian Pedang, pusat penyebaran apa yang mereka dakwa sebagai fahaman Wahabi terletak di Arab Saudi – berdasarkan nama seorang ulama silam Muhammad Abdul Wahab.
Ringkasnya, daripada gerakan Muhammad Abdul Wahab ini tercetusnya satu kebangkitan Islam sehingga wujudnya pentadbiran Arab Saudi yang ada sekarang ini. Tentulah, imam-imam besar di Tanah Suci Makkah dan Madinah penuh dengan mereka yang berfahaman Wahabi. Suatu ketika dulu, Pedang ke Makkah dan ditunjukkan kawasan yang didakwa terdapat madrasah Wahabi di dalamnya.
Lalu, Pedang pun terfikir, bagaimana Zamihan dan pengikutnya mengerjakan haji atau umrah. Hendak solat, pastinya mengikut imam-imam yang ditentang dan dituduh sebagai Wahabi. Kalau dituduh Wahabi menyeleweng, bagaimana solat kita berimamkan orang yang didakwa Wahabi? Sah ke? Atau hipokrit? (bahasa agama hipokrit sama juga dengan munafik)
Maha Suci Allah dan Maha Besar Allah kerana menjadikan orang yang dituduh sebagai Wahabi itu penjaga rumah-Nya dan makam nabi-Nya. Kalau orang Melayu yang jaga, entah apa berlaku kepada dua Tanah Suci itu. Mungkin ‘digadai’ kepada China.
Paling mudah, usahlah kita bergaduh mengenai hal-hal fiqh. Masing-masing bawa amalan yang paling awal ditanya nanti iaitu solat diikuti rukun-rukun lain. Zamihan ‘Al-Ghari’ solat menghadap kiblat di Makkah, begitu juga Dr Zulkifli atau Dr Asri dan mereka yang dituduh Wahabi, pun menghadap kiblat. Pedang pun menghadap kiblat di Makkah.
Niat solat kita sama, satu takbir yang sama, salam yang sama, perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Tariklah nafas keimanan dan sematkan di dalam hati, fikiran dan roh kita kecintaan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan meletakkan agama Islam mestilah di tempat yang paling utama mengatasi kecintaan kita pada yang lain. Usah bergaduh sehingga ada puak-puak kafir, liberal dan sekular mengambil kesempatan mengadu domba kita.
Allah Taala berfirman dalam ayat 136 surah al-Nisa’ yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.“
Allah Taala juga berfirman dalam ayat 103 surah Ali Imran yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah al-Quran..“
“.. Dan apa juga suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya …” (Ayat 7 surah Al-Hasyr).
Imam Muslim meriwayatkan: Dari Zaid bin Arqam ra katanya: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. “
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima pakai hadis Rasulullah SAW riwayat Imam Malik yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya.”
Maaflah kalau Pedang salah. Sekarang ini, kalau ada bunyi Arab, orang ramai mudah percaya, apa lagi kalau diri sendiri mahu orang memanggil kita ustaz. Pedang bukan ustaz, walaupun Datuk Seri Mukhriz Mahathir panggil Pedang ustaz, atau mereka yang pernah panggil Pedang ustaz kerana Pedang mengetuai mereka ketika melakukan umrah. Pedang kata “saya bukan ustaz”.
Ada rakan-rakan yang panggil Pedang ‘Pak Syeikh’, itu mungkin kerana Pedang suka pakai jubah. Pedang pakai jubah dengan niat ikut sunnah Rasulullah. Pedang simpan janggut pun dengan niat ikut Rasulullah. Ikut perbuatan Nabi kesayangan kita dapat pahala. Pahala Pedang sikit, pahala orang Aswaja, Dr Zulkifli, Dr Asri, Zamihan dah banyak.
Kata Pedang: Sekarang ramai ustaz yang letak ‘Al….’ di belakang nama mereka. Pedang bukan ustaz tapi nak letak juga ‘Al…’ di belakang nama Pedang, biar nampak dan bunyi Arab juga. Pedang Al-Tajami.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post Pedang dapat ilham ulas kenyataan Zamihan Al-Ghari dalam tandas…. appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan