Polis terima laporan menerusi laman sosial selagi tidak aibkan PDRM
JOHOR BAHRU, 10 Ramadan 1438H, Isnin – Polis Johor mengambil sikap terbuka dalam menerima sebarang aduan yang dimuat naik menerusi laman media sosial selagi ia tidak mengaibkan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, bagaimanapun, pihak polis boleh mengambil tindakan tegas sekiranya aduan berkenaan mempunyai unsur atau bersifat memburukkan imej pasukan itu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai sebarang masalah dalam menjalankan siasatan walaupun sesuatu aduan berkenaan dimuat naik dalam laman sosial, kita terbuka.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang pemimpin DAP Johor yang memuat naik senarai lokasi pusat judi haram di kawasan Gelang Patah dalam laman Facebook miliknya, baru-baru ini.
Pemimpin DAP tersebut turut menyenaraikan 22 lokasi pusat mesin judi haram di daerah Kluang dan 18 lokasi di Gelang Patah selain mendakwa pihak polis tidak mengambil tindakan untuk menutup premis-premis berkenaan.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, beliau telahpun mengarahkan semua ketua polis daerah supaya mengambil tindakan sekiranya aduan berkenaan wujud.
“Arahan saya jelas memang polis akan bertindak sekiranya wujud pusat judi haram di mana-mana kawasan. Saya mahukan setiap daerah bebas daripada premis-premis seperti ini.
“Mereka ini mungkin ada agenda lain yang kita tidak tahu, tetapi polis tidak akan cepat “melatah” dengan kenyataan-kenyataan seperti ini,” katanya. – Bernama
The post Polis terima laporan menerusi laman sosial selagi tidak aibkan PDRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan