ismakualaterengganu

Puasa terapi rohani

Bismillahirrahmanirrahim Salam Ramadan buat semua. Saya sangat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Dr. Norzila Baharin ya...




Bismillahirrahmanirrahim

Salam Ramadan buat semua. Saya sangat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Dr. Norzila Baharin yang sangat menyeluruh dan padat (baca selanjutnya di sini: http://isma.org.my/v2/puasa-dan-kesihatan2/)

Di dalam artikel tersebut ada mengulas tentang detoksifikasi secara fizikal di mana puasa secara zahirnya sebagai salah satu proses menggalakkan penyembuhan. Insya-Allah dalam artikel ini, saya akan mengfokuskan kepada detoksifikasi emosi.

Menurul Daniel Goleman (2012:411);

"Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran yang khas, suatu keadaan biologis dan psikologis dan serangkain kecerendungan untuk bertindak. Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak. Biasanya emosi merupakan reaksi terhadap ransangan dari luar dan dalam diri individu. Sebagai contoh emosi gembira mendorong perubahan suasana hati seseorang sehingga terlihat tertawa dan sebaliknya emosi sedih mendorong seseorang berperilaku menangis".

Adapun di dalam Al-Quran, denotasi emosi tidak disebut secara khusus tetapi gambaran-gambaran tentang pelbagai emosi telah dsebut dengan cermat di dalam ayat-ayat al-Quran. Sebagai contoh surah annahlu ayat 58:

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِٱلۡأُنثَىٰ ظَلَّ وَجۡهُهُۥ مُسۡوَدّٗا وَهُوَ كَظِيمٞ ٥٨ 

Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. (16: 58)

Berikut adalah 3 toksin emosi yang akan saya fokuskan dan usaha-usaha yang boleh kita fokuskan terutamanya bulan Ramadhan supaya kita  sedaya upaya menyahtoksin emosi negatif tersebut.

1. Kemarahan – (Anger)

Marah adalah bara yang dilemparkan syaitan kedalam hati anak adam sehingga ia mudah bertindak luar jangkaan. Marah merupakan salah satu keagungan dan kemuliaan bagi Allah, adapun marah yang dinisbatkan kepda makhluk terbahagi kepad 2 iaitu marah yang terpuji dan marah yang tercela. Marah yang terpuji adalah kerana melanggar hukum dan syariat Allah adapun marah yang tercela adalah apabila dilakukan bagi membela diri, kepentingan duniawi dan melampau batasan. Oleh itu, rasa marah seharusnya dikawal bukannya ia mengawalmu.

Rasulullah SAW pernah meriwayatkan:

“Sesunggunya orang yang kuat bukan mereka yang mempu mengalahkan manusia kerana kekuatan fizikal, tetapi mereka  yang mampu menahan diri mereka ketika marah” (HR Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadith lainnya ada juga menyebut larangan untuk marah sebanyak tiga kali kepada sahabat kerana marah ini boleh membawa kepada dosa, kebodohan dan rosaknya perhubungan. 

Pada kebiasaannya, marah ini tercetus kerana pelaku suka menyalahkan orang lain dalam apa jua kesalahn yang berlaku. Oleh sebab itu adalah sangat penting kepada pelaku untuk sentisa mengingati bahawa apa yang berlaku adalah takdir dan ketetapan daripada Allah SWT dan haruslah redha dengan-Nya. Apabila datangnya perasaan marah haruslah bersegera mengucapkan taawuz, berwudhuk dan menukar posisi daripada berdiri kepada duduk dan daripada duduk kepada baring. Semua ajaran-ajaran ini telah tertulis didalam hadith-hadith baginda SAW supaya umat Islam mampu menahan amarahnya daripada tercetus daripada mengesani manusia sekelilingnya.

Selain itu, ambillah keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini banyakkan menyebut kata-kata positif “positive affirmation” bersama-sama dengan doa dan istighfar. Sentiasalah mengakui kehebatan Allah SWT dengan Asma al-Husna dan mengakui dosa-dosa lalu. Kata-kata yang baik mampu megubah fikiran dan jiwa lalu mendorong kita menjadi apa yang kita doa dan sebutkan selalu.

2. Pesimis 

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat: 

"Pesimis bermaksud bersikap mudah putus asa atau mudah kecewa; berlwanan dengan optimis. Mereka cenderung bersikap negative dalam apa jua keadaan yang berlaku dalam kehidupan. Hakikatnya mereka adalah insan yang tidak bersyukur dan sering merungut (complain)  tentang kehidupan masing-masing. Keadaan ini akan memberi impak negatif  terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Ini kerana, orang yang pesimis pada kebanyakan masa mereka sentiasa bersedih dengan nasib diri sendiri, putus harapan, tidak bersemangat dan tiada motivasi diri".

Seorang muslin sepatutnya tidak ada sifat pesimis kerana muslin bergantung sepenuhnya pada Allah SWT. Seorang yang beriman akn sentiasa berfikiran terbuka dan positif terhadap takdir Allah kerana mereka tidak sedikit pun berburuk sangka terhadap Allah SWT yang Maha bijaksana.

Dari Shuhaib bin Sinan RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

عجبًا لأمرِ المؤمنِ . إن أمرَه كلَّه خيرٌ . وليس ذاك لأحدٍ إلا للمؤمنِ . إن أصابته سراءُ شكرَ . فكان خيرًا له . وإن أصابته ضراءُ صبر . فكان خيرًا له
Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, karena semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya”.
2.1 Hukum saling tarik menarik (Law of attraction)
"Menurut hukum ini apa yang anda fikir, anda akan dapati seperti apa yang anda fikirkan. Jika kita berfikiran negatif, perkara tidak baik akan berlaku terhadap kita, dan jika kita lakukan sesuatu di dalam keadaan takut dan putus asa, kita tidak akan mendapat keputusan yang positif juga".
Di dalam hadith Qudsi: Dari Abu Hurairah RA, ia berkata: Nabi SAW bersabda: 
"Allah Ta'ala berfirman: "Aku menurut sangkaan hambaKu kepada-Ku… (HR Bukhari)
Hadith Qudsi di atas jelas memberi penerangan tentang 'law of attarction' di mana, siapa yang bersangka baik dengan Allah, Allah akan memberikan kepadanya apa yang dimintanya. Bagi mereka yang sentiasa merasa tidak adil setelah penat berusaha, maka dia sering terlupa bahawa Allah SWT Maha Adil. Jika mereka keliru dan tidak jumpa jalan pulang mereka terlupa bahawa Allah SWT Maha Memberi Petunjuk.Semua sifat-sifat Allah didalam Asma al-Husna adalah keyakinan sebenar umat Islam ketika mana mereka meminta dan sentiasa yakin dengan Allah. Hakikat inilah yang seharusnya disemat di dalam sanubari setiap muslim agar perjalanan hidupnya terarah dan terpandu.
3. Kebencian
Kebencian merupakan sebuah emosi yang sangat kuat dan melambangkan ketidaksukaan, permusuhan dan antipasti untuk seseorang, sebuh hal, barang atau fenomena. Hal ini juga merupakan sebuah keinginan untuk menghindari menghancurkan atau menghilangkannya. Sebuah pengalaman seorang kenalan rapat ketika saya berada di zaman "housemenship" (HO); 
"Si A menceritakan bahawa beliau pernah dibuli oleh senior MO ketika itu sehingga menyebabkan tekanan perasaan yang teruk. A juga pada ketika itu mengandung anaknya yang pertama. Akibat tekanan emosi melampau, beliau mengalami komplikasi tekanan darah tinggi “pre-eclampsia”. Rentetan peritiwa tersebut, wajah-wajah Mo yang pernah menyakitinya sangat menjadi kebenciannya. Walau bagaimanapun, beliau masih tetap mampu menghabiskan 'housemenshipnya' dan saya sentiasa mendoakan kebencian itu berakhir".
3.1 Allah Maha Pemaaf
Ibnu katheer mentafsirkan:
“Nama Allah “al-‘Afuw” adalah fa’uul dari kata al-‘afwu (memaafkan) yang berarti memaafkan perbuatan dosa dan tidak menghukumnya, asal maknanya: menghapus dan menghilangkan.
Syaikh Abdurrahman as-Sa’di ketika menafsirkan firman Allah Ta’ala,
{إنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفُوْرٌ}
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pema’af lagi Maha Pengampun
(QS al-Hajj:60).

Beliau berkata, “Ertinya: Dia maha memaafkan orang-orang yang berbuat dosa, dengan tidak menyegerakan siksaan bagi mereka, serta mengampuni dosa-dosa mereka. Maka Allah menghapuskan dosa dan bekas-bekasnya dari diri mereka. Inilah sifat Allah Ta’ala yang tetap dan terus ada pada zat-Nya (yang maha mulia), dan inilah perlakuan-Nya kepada hamba-hamba-Nya di setiap waktu, (iaitu) dengan pemaafan dan pengampunan…”.
Makna inilah yang dimaksud dalam doa yang diajarkan Rasulullah SAW untuk dibaca pada malam lailatul qadr:
اللهم إنك عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pema’af, Engkau suka memaafkan (hamba-Mu), maka maafkanlah aku.
Marilah kita mengambil ikhtibar dengan mamperbaiki kebencian kepada rasa cinta dengan sifat Allah yang Maha Pemaaf. Janganlah pula sifat benci membuatkan kita terlupa kepada kebaikan yang pernah dicurahkan kepada kita walaupun sekelumit cuma kerana Allah SWT yang Maha Hebat tidak berkira untuk memaafkan kita apabila kita meminta, apatah pulak kita yang kerdil dan hina ini

Semoga ramadan kali ini memberi impak terhadap emosi yang lebih stabil dan positif. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk berdoa dan berusaha kerana pada bulan inilah pintu rahmat terbuka seluas-luasnya menanti mereka yang sentiasa berusaha mendekati Allah dengan perbuatan-perbuatan ketaatan dlam keadaan susah dan senang.

Semoga Allah sampaikan kita kepada malam Lailatul Qadr!


Nukilan oleh: 

Dr. Nurdiyana Bt. Mohamed
Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,
Ahli Ikatan Pegamal Perubatan  dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK). 







Related

TERKINI 613845146217874399
item