Qatar diberi 10 hari tutup Al Jazeera, penuhi tuntutan 13 perkara

DOHA, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Arab Saudi dan sekutunya yang memutuskan hubungan dengan Qatar baru-baru ini, dilapor menyerahkan senarai tuntutan 13 perkara, yang perlu dipatuhi Doha bagi menyelesaikan krisis diplomatik.

Tuntutan itu antara lain meminta Qatar menutup stesen televisyen satelit berpangkalan di Doha – Al Jazeera -, memutuskan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, Hamas, Hezbollah, al-Qaeda dan IS.

Agensi berita melaporkan mereka mendapat salinan senarai tuntutan itu daripada pegawai sebuah negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar, yang tidak dinamakan.

Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar bulan ini atas dakwaan negara Teluk itu menyediakan dana kepada gerakan pengganas. Doha menafikan mereka menyokong kumpulan pengganas.

Semua negara itu memberi masa 10 hari kepada Qatar untuk memenuhi tuntutan berkenaan, termasuk membayar sejumlah wang pampasan berikutan ‘kehilangan nyawa dan sebab-sebab lain akibat dasar Qatar itu’.

Menurut senarai itu, Qatar mesti membatalkan kewarganegaraan rakyat asing yang berlindung di negara itu yang melanggar undang-undang negara asal mereka.

Mereka juga menuntut Qatar memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, menghalau keluar anggota Pengawal Revolusi Iran dan hanya melakukan hubungan dagangan dengan Iran berdasarkan ketetapan dibuat Amerika Syarikat (AS).

Qatar juga didesak menutup Al Jazeera serta beberapa agensi berita yang dilaporkan dibiayainya, termasuk Arabi21, Rassd, Al Araby Al Jadeed dan Middle East Eye.

Bagaimanapun, senarai itu tidak menyatakan apakah tindakan yang bakal diambil jika Qatar enggan menyetujuinya.

Berikut adalah senarai tuntutan 13 perkara itu.

1) Mengurangkan hubungan diplomatik dengan Iran serta menutup misi diplomatik Iran. Menghalau keluar anggota Pasukan Pengawal Republikan Iran dan memutuskan kerjasama ketenteraan serta perisikan dengan Iran. Hubungan dagangan dengan Iran mesti memenuhi syarat yag ditetapkan AS dan sekatan antarabangsa, supaya tidak menjejaskan keselamatan Majlis Kerjasama Teluk;

2) Menutup segera pangkalan tentera Turki yang sedang dalam pembinaan dan membatalkan kerjasama ketenteraan dengan Ankara di Qatar;

3) Memutuskan hubungan dengan ‘pengganas, organisasi sektarian dan ideologi’, terutama Ikhwanul Muslimin, ISIL, al-Qaeda, Fateh Al-Sham (sebelum ini dikenali sebagai Nusra Front) dan Hezbollah di Lubnan. Mengisytiharkan secara rasmi kumpulan yang disebut itu sebagai pengganas sebagaimana senarai yang dikeluarkan Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir, serta bersetuju dengan semua kemas kini pada masa depan;

4) Menghentikan segala cara pembiayaan terhadap individu, kumpulan atau pertubuhan yang diisytiharkan pengganas oleh Arab Saudi, UAE, Mesir, Bahrain, AS dan negara lain;

5) Menyerahkan ke negara asal ‘tokoh pengganas’, pelarian dan individu dikehendaki dari Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain. Membekukan aset mereka, serta memberikan segala maklumat terkini mengenai kedudukan, pergerakan dan kewangan mereka;

6) Menutup Al Jazeera dan stesen penyiaran lain;

7) Menamatkan campur tangan ke atas hal ehwal dalaman negara lain. Berhenti memberi kerakyatan kepada warga Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain;

8) Membayar pampasan terhadap kehilangan nyawa dan kerugian kewangan lain disebabkan polisi Qatar sejak beberapa tahun lalu. Jumlah pampasan akan ditetapkan dengan penyelarasan Qatar;

9) Menjadi sekutu dengan lain-lain negara Teluk dan Arab berhubung hal ketenteraan, politik, sosial dan ekonomi;

10) Berhenti mengadakan hubungan dengan pemimpin parti politik pembangkang di Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain. Menyerahkan fail lengkap hubungan Qatar dengan pembangkang serta menyerahkan senarai lengkap maklumat peribadi individu atau kumpulan itu;

11) Menutup semua agensi media yang dibantu secara terus atau tidak oleh Qatar, termasuk Arabi21, Rassd, Al Araby Al Jadeed, Mekameleen dan Middle East Eye dan lain-lain;

12) Bersetuju dengan semua tuntutan dalam tempoh 10 hari senarai diserahkan atau senarai itu menjadi tidak sah; dan

13) Mematuhi kehendak audit bulanan bagi tahun pertama selepas bersetuju terhadap senarai tuntutan ini diikuti suku tahun berikutnya dalam tempoh 10 tahun akan datang. – Agensi

The post Qatar diberi 10 hari tutup Al Jazeera, penuhi tuntutan 13 perkara appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian