ismakualaterengganu

Ramadan agen perubahan diri

Gambar hiasan (Sumber: Heavy.com) Antara saat yang paling bererti dalam kehidupan seseorang ialah apabila dia mampu mengubah diriny...



Gambar hiasan (Sumber: Heavy.com)

Antara saat yang paling bererti dalam kehidupan seseorang ialah apabila dia mampu mengubah dirinya ke arah yang lebih baik. Daripada malas kepada rajin, daripada membuang
masa membuat perkara sia-sia kepada mengisi masa dengan perkara berfaedah untuk dunia mahupun akhirat. Ini kerana perubahan diri akan memastikan perubahan yang lebih besar seterusnya berlaku seperti perubahan keluarga, perubahan masyarakat, perubahan negara dan seterusnya. Akan tetapi, titik perubahan diri inilah merupakan satu perkara yang amat sukar untuk dilakukan. Tidak wujud satu ubat atau pil yang boleh mengubah sikap seseorang daripada sikap yang buruk kepada yang lebih baik dalam sekelip mata. Walaupun setinggi mana harga sesuatu ubat itu. Kerana perubahan diri harus lahir dari jiwa dan bukan fizikal, yang mana ubat, hanya mampu untuk mengubah sesuatu yang fizikal sahaja dan bukan jiwa dan ruh seseorang.

“Binalah Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumi kamu” Hasan al-Hudhaibi.

Hasan al-Hudhaibi merupakan Mursyidul Am kedua Ikhwanul Muslimin
selepas as-Syahid al-Imam Hassan al-Banna rhm. (Sumber: Wikipedia)

Oleh itu, bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan diri. Kerana turunnya kafarduan untuk berpuasa, salah satunya adalah bertujuan untuk mendidik jiwa dengan mendidik hawa nafsu supaya mencapai taqwa. Syaitan sudah diberlenggu, hanya pertarungan antara diri sendiri dan hawa nafsu yang menghalang kita dari merubah diri kepada yang lebih baik.


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (al-Baqarah:183)

Jika perubahan diri tidak mampu dilakukan di bulan Ramadan, maka Ramadan sebenarnya tidak membawa apa-apa makna terhadap kita selain menahan diri dari lapar dan dahaga. Walaupun berpuluh kali Ramadan yang pernah kita tempuhi sepanjang kehidupan ini, andainya perubahan ibadat, pergaulan dengan orang lain, sikap, menambah ilmu, sedekah, qiam, zikir, khusyuk dan lain-lain lagi perkara positif dan kebaikan tidak menampakkan perubahan dalam diri, maka ia hanya akan menjadi rutin harian, bulanan dan tahunan semata-mata.  

Ramadan merupakan bulan yang tepat untuk kita berubah. Sumber: iTarbiyyah.com

Apabila perubahan diri ini tidak berlaku, jangan diharap lagi masyarakat akan berubah. Apatah lagi kepada negara. Segala cita-cita dan perancangan akan tergendala. Segala impian dan harapan yang didambakan akan hancur. Ia adalah sunnah alam yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam kehidupan ini. Untuk menuai hasil durian, terpaksa disemai benihnya. Dijaga kandungan baja dan airnya. Dihalang segala musuh tanaman sehingga menghasilkan buah yang baik. Sesiapa yang berusaha dengan tekun ia memperolehinya. Tidak kira ia dalam kalangan orang yang beriman atau tidak beriman. Keadaan ini berlaku apabila  perubahan dalam diri benar-benar terjadi.


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

“...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (ar-Ra’d:11).


وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”(al-Ankabut: 69)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memanafaatkan sepenuhnya bulan Ramadan kali ini untuk merubah diri kita ke arah yang lebih baik. Jangan kita mempersia-siakan bulan yang mulia ini dan membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa memberi impak kepada diri khususya. Jika Ramadan sebelum ini telah berlalu tanpa memberi kesan, biarlah Ramadan kali ini betul-betul membekas di jiwa dan membetuk diri kita yang baru, lebih baik dari yang sebelumnya. 


Tulisan oleh:
Ust. Dr. Razali bin Musa
YDP ISMA Kuala Terengganu

item