1MDB: Najib hanya berani berdepan ‘penonton’
KUALA LUMPUR, 3 Zulkaedah 1438H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hanya berani berdepan ‘penonton’, tetapi tidak berani menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Memetik laporan Oriental Daily, beliau berkata, Najib sepatutnya mengambil kesempatan membuktikan tuduhan berkaitan 1MDB itu tidak benar di Parlimen, sekali gus akan menunjukkan pihak pembangkang kelihatan ‘bodoh’.
Namun, katanya, Perdana Menteri tidak mengambil kesempatan itu.
“1MDB yang merupakan cetusan idea Najib kini sedang disiasat, banyak negara telah menempa nama Malaysia sebagai kleptokrasi di mata dunia, ekoran pelbagai penyelewengan yang berlaku membabitkan syarikat tersebut.
“Najib sebenarnya mempunyai kesempatan yang baik untuk membuatkan kami di pihak pembangkang seolah-olah orang bodoh…jika benar pembangkang membangkitkan isu 1MDB secara tidak adil,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman yang dilemparkan Najib terhadap sesetengah ahli politik yang mendakwa sengaja meniupkan isu 1MDB bagi menjatuhkan kerajaan.
Pua berkata, rakyat Malaysia juga ingin tahu mengapa Perdana Menteri enggan mengulas mengenai punca wang bernilai AS$731 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.
Sebelum ini, Najib mendakwa dana yang masuk ke akaun bank peribadinya itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi dan mengaku telah memulangkan kembali sebahagian sumbangan tersebut.
Bagaimanapun, Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dalam dua saman sivil yang dikemukakan di negara itu bagi merampas aset beberapa individu yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB, mengemukakan maklumat terperinci aliran wang yang masuk ke akaun Malaysia Official 1.
The post 1MDB: Najib hanya berani berdepan ‘penonton’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan