50 lagi kamera Awas dipasang kurangkan kemalangan maut
KUALA NERUS, 29 Syawal 1438H, Ahad – Sebanyak 50 lagi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) akan dipasang di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata, kamera terbabit akan dipasang di lokasi strategik yang telah dikenal pasti.
“Ia sebagai salah satu usaha jabatan itu menurunkan kadar kemalangan maut. Setakat ini 21 kamera telah dipasang,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan dan Perasmian Kursus Kecemerlangan serta Sukan JPJ 2017 di Pusat Konvensyen Duyong Marina Resort, di sini malam tadi.
Selain itu, Nadzri berkata, JPJ akan turut memberikan penekanan terhadap kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat yang semakin meningkat kebelakangan ini berikutan terdapatnya aduan menerusi media sosial.
Katanya pengguna motosikal dikesan paling tinggi mencatatkan kesalahan tersebut yang merupakan 7 kesalahan utama yang mengundang kemalangan maut.
“Operasi memang kita adakan setiap masa namun kali ini kita tekankan kepada Ops Lampu merah yang dilaksanakan sejak 12 Julai lalu ekoran kegagalan pengguna mematuhi peraturan tersebut.
“Saman akan terus dikenakan kepada pesalah trafik yang gagal mematuhinya dan kompaun maksimum RM300 boleh dikenakan,” katanya.
The post 50 lagi kamera Awas dipasang kurangkan kemalangan maut appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan