Ambil habuan, tapi jangan terhutang budi, kata Generasi kepada peneroka Felda
BANGI, 2 Zulkaedah 1438H, Rabu – Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) berharap peneroka Felda tidak termakan umpan besar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedang pada masa sama mereka menjadi mangsa penipuan UMNO.
Sambil mengucapkan tahniah kepada peneroka Felda yang menerima ‘durian runtuh’ melalui pengumuman 23 Julai lalu, Pengerusi Generasi, Roslan Md Esa bagaimanapun berkata, pemberian itu adalah petanda Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin hampir.
Malah, katanya, dengan habuan yang agak besar itu UMNO mengharapkan peneroka Felda akan terus menjadi benteng akhir mereka untuk berkuasa dan terus menerus menyeleweng selain membiarkan rasuah berleluasa.
“Penanda aras bahawa UMNO terpaksa memberi umpan besar-besaran buat fixed deposit mereka iaitu Felda yang mana mereka mungkin boleh menguasai 54 kerusi Parlimen dengan cara ini.
“Kami di NGO Generasi ingin sekali menegaskan bahawa habuan sedemikian bakal memberi kesan, namun dalam masa yang sama peneroka Felda diharapkan tidak termakan umpan sebesar itu apatah lagi jika diingatkan semula bahawa Umno melalui pelbagai cara telah menjahanamkan kantung wang peneroka Felda.
“Ia tidak termasuk lagi beberapa projek besar bawah FGV dan Felda yang telah memangsakan warga Felda di samping penipuan besar dalam isu hasil warga Felda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Roslan berkata, kumpulan anak generasi kedua Felda melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menggunakan wang untuk memancing semula undi peneroka, selepas tidak lagi mendapat sokongan.
“Suka kami ingatkan bahawa UMNO BN yang menerajui negara masih tidak menyelesaikan lagi isu perumahan generasi kedua Felda yang dicanang selama ini. Kami pasti bahawa selepas satu desakan dari pihak kami, maka UMNO akan bertindak mengumumkan pula peruntukan tambahan buat perumahan PGBF itu.
“Ingatlah bahawa segalanya yang diumumkan ini menandakan ia umpan besar atas keterdesakan, maka sebagai warga Felda yang matang dan bijaksana, umpan yang didepan mata boleh dimakan tetapi usah tersangkut di dalam perut kerana akibatnya selepas ini peneroka akan terus menjadi mangsa pelbagai pendekatan gila pasca PRU14 andai kerajaan UMNO BN terus memerintah negara.
“Ambil habuan, tetapi usah ada rasa bersalah atau terhutang budi, kerana UMNO BN telah lama berhutang dengan peneroka Felda,” katanya.
The post Ambil habuan, tapi jangan terhutang budi, kata Generasi kepada peneroka Felda appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan